Projek bina 3 pulau Gamuda di Pulau Pinang diluluskan, impak terhadap pendapatan bermula FY26 – RHB Invest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek bina 3 pulau Gamuda di Pulau Pinang diluluskan, impak terhadap pendapatan bermula FY26 – RHB Invest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Projek Penang South Islands (PSI) Gamuda telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) namun masih menunggu kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang dihantar oleh kerajaan Pulau Pinang.

 

RHB Investment difahamkan bahawa dengan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diluluskan, defisit pembiayaan mungkin meningkat secara beransur-ansur kepada paras RM4 bilion pada tahun keempat selepas penambakan dan selepas itu, akan dipulihkan sepenuhnya apabila menerima kutipan jualan tanah.

 

Kelulusan itu adalah untuk pembinaan tiga pulau, kini dikenal pasti sebagai A, B dan C, kata firma penyelidikan itu sambil menambah bahawa kerja-kerja penambakan akan bermula di Pulau A yang akan dijadikan Taman Teknologi Hijau.

 

Pada Mac 2021, kerajaan negeri Pulau Pinang dan SRS Consortium (SRS), anak syarikat Gamuda telah mencapai persetujuan selepas berbulan-bulan berunding untuk melaksanakan pembangunan Pulau A di bawah usaha sama, iaitu 70% SRS, 30% PSG.

 

Usaha sama juga merupakan pemaju projek yang bertanggungjawab untuk mendapatkan kelulusan pembangunan diperlukan dan melaksanakan reka bentuk, pembinaan dan penyiapan infrastruktur PSI di Pulau A.

 

Menurut firma itu, jualan tanah untuk Pulau A Fasa 1 meliputi 1,200 hektar atau sekitar 52% dianggap sebagai hasil utama pemaju projek dan dianggarkan pada RM8 hingga 9 bilion dan Gamuda Engineering telah dijadual sebagai kontraktor turnkey (TC) untuk kerja-kerja penambakan Pulau A Fasa 1.

 

“Nilai buku pesanan segera untuk kerja-kerja penambakan awal dianggarkan pada kira-kira RM5 bilion, berdasarkan panduan awal pada Mac 2021, dan semakan terkini kami dengan pihak pengurusan,” kata firma itu sambil menambah tiada surat rasmi anugerah diterima oleh Gamuda pada ketika ini.

 

Firma itu berkata anggaran awal aset bersih dinilai semula (RNAV) daripada jualan tanah masa hadapan Pulau A Fasa 1 boleh meningkatkan harga sasaran (TP) 11 sen daripada RM4.35 kepada RM4.46, berdasarkan kadar diskaun 8% dan andaian margin bersih sebanyak 6%.

 

Tambahnya, jumlah pendapatan bersih daripada penjualan tanah adalah RM515 juta dalam tempoh tujuh tahun atau RM74 juta setahun yang sepatutnya mula diiktiraf dari FY26 dan seterusnya selepas penambakan selesai.

 

Mengulas lanjut berkenaan kelulusan EMP, firma itu berkata kerajaan Pulau Pinang melalui rakan pembangunan projek itu memohon kelulusan tersebut daripada DOE negeri dan kerja-kerja penambakan hanya akan bermula selepas kelulusan EMP diperolehi iaitu dijangka pada suku ketiga 2023.

 

“Dengan pelbagai prospek positif, selain projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) dan pekerjaan pembinaannya di luar negara, Gamuda kelihatan cukup bernilai,” katanya.

 

Dengan tiada perubahan terhadap anggaran pendapatan, firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM4.35. -DagangNews.com