Program MyMobiFix Yayasan Inovasi Malaysia dan HSBC bantu tingkatkan kemahiran, jana pendapatan golongan B40 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program MyMobiFix Yayasan Inovasi Malaysia dan HSBC bantu tingkatkan kemahiran, jana pendapatan golongan B40

Para peserta Program MyMobi Fix bergambar pada Kursus Penyelenggaraan dan Membaik Pulih Telefon Pintar serta Asas Keusahawanan Sosial anjuran YIM dan HSBC Bank Malaysia di PPR Desa Rejang, Setapak Jaya.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan usaha sama HSBC Bank Malaysia menganjurkan Kursus Penyelenggaraan dan Membaikpulih Telefon Pintar serta Asas Keusahawanan Sosial di bawah program MyMobiFix yang bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan pengetahuan keusahawan golongan B40. 

 

Program MyMobiFix merupakan salah satu program teknikal yang pertama dijalankan oleh YIM untuk golongan sasar dalam mewujudkan peluang perniagaan membaik pulih telefon pintar secara sepenuh masa atau sebagai sumber penjanaan pendapatan tambahan secara sambilan.


 
YIM turut dalam rangka untuk merancakkan inisiatif inovasi sosial dengan pewujudan hub transformasi inovasi sosial di ibukota, turut bersinergi dengan pelbagai pihak termasuk HSBC. 

 

Program tiga hari yang diadakan dari 3 - 5 Jun 2022 itu melibatkan seramai lebih 40 orang peserta dari golongan B40 dan diadakan di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak Jaya di sini.

 

Ketua Korporat Kemampanan Negara HSBC Bank Malaysia, Devika Rajamanickam berkata, kemajuan dalam bidang teknologi digital dan keadaan semasa yang berlaku terutama sekali ketika penularan wabak COVID-19 telah mengubah gaya hidup dan cara bekerja. 

 

"Ia turut menjejaskan mata pencarian orang ramai terutamanya golongan B40. Disebabkan keadaan ini, kami di HSBC komited untuk membina kemahiran masa depan untuk pelanggan, pekerja dan orang ramai di dalam komuniti yang kami berkhidmat. 

 

"Melalui perkongsian kami dengan institusi seperti YIM, kami menyasarkan untuk membangunkan generasi yang berdaya saing, usahawan yang lengkap dengan pelbagai kemahiran yang penting untuk berkembang maju di dalam dunia moden," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

 

yim
Peserta Program MyMobi Fix berjaya menghidupkan semula telefon mudah alih yang rosak.

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh berkata, sepanjang tempoh pandemik berlaku, tumpuan YIM telah berkembang bukan sahaja memacu inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga kepada meningkatkan kesejahteraan masyarakat dengan keutamaan diberikan kepada kumpulan B40.

 

“Ini dilakukan melalui pelaksanaan projek yang berpotensi melepaskan mereka daripada cengkaman kewangan yang yang disebabkan oleh kehilangan punca pendapatan”, katanya.

 

Program MyMobiFix yang dijalankan dengan kerjasama Rakan Impak, sebuah entiti Keusahawanan Sosial yang dikenali U4U (Upskilling 4 Upscaling) dibahagikan kepada tiga fasa dengan fasa pertama dan kedua dianjurkan selama dua minggu pada November dan Disember 2021 dan melibatkan seramai 70 peserta. 

 

Fasa ketiga pula melibatkan 100 peserta dan telah dijalankan di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur pada bulan Mei dan Jun 2022. Melihat kejayaan program pada tahun ini, HSBC Bank Malaysia telah memberi sokongan dana untuk meneruskan program ini bagi tahun 2022/23. 

 

Seramai 170 peserta lagi bakal mendapat manfaat daripada program ini yang mana mereka berpeluang untuk menambah kemahiran dan sumber pendapatan dengan membuka perniagaan sendiri di bawah ekonomi gig yang membolehkan mereka untuk bekerja dari rumah atau di mana-mana sahaja. - DagangNews.com