Program Accelerate bantu 6,000 PMKS wanita luar bandar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program Accelerate bantu 6,000 PMKS wanita luar bandar

Foto NSTP
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Seramai 6,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita di kawasan luar bandar dan pedalaman akan dibantu untuk menimba kemahiran praktikal demi kelangsungan dan kemajuan perniagaan masing-masing, menerusi program Accelerate.

 

Program yang dilancarkan The Asia Foundation dengan kerjasama AT&T dan Visa itu merupakan sebuah inisiatif yang akan membantu PMKS serta diiktiraf dan disokong sepenuhnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

 

Inisiatif Accelerate dirangka khusus untuk memenuhi keperluan segera PMKS diterajui wanita di kawasan pedalaman dengan cara yang relevan, dinamik dan mudah dimanfaatkan.

 

Wakil negara The Asia Foundation di Malaysia, Robin Bush berkata,  PMKS pimpinan wanita adalah pemacu penting ekonomi Malaysia seperti di kebanyakan negara lain di rantau ini.

 

Jelasnya, langkah melengkapkan mereka dengan ilmu untuk menceburi ekonomi digital ibarat memberikan talian hayat kepada wanita itu sendiri dan juga sebagai sebahagian penting daripada proses pemulihan ekonomi negara.

 

"Program yang memanfaatkan kepakaran sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini bertumpu kepada usaha memastikan pemilik perniagaan wanita boleh mendapatkan kemahiran dan alat yang penting dan praktikal untuk menarik pelanggan, mengembangkan perniagaan kecil dan meneruskan pembangunan dan pelaksanaan rancangan perniagaan masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Naib Presiden Kanan, Hal Ehwal Luar dan Kawal Selia Antarabangsa AT&T, Andrew Reinsdorf pula berkata, program itu disokong pihak AT&T di seluruh dunia yang berkongsi komitmen untuk memberikan sumbangan positif.

 

"Saya teruja dengan kerjasama yang dijalin dengan The Asia Foundation dan Visa untuk memperkasakan usahawan wanita dengan latihan, capaian teknologi dan kemahiran yang mereka perlukan mengembangkan perniagaan, membuka peluang pekerjaan dan memimpin masyarakat," katanya.

 

Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, Visa bertekad untuk membantu 50 juta perniagaan kecil dan mikro beralih ke dunia digital menjelang akhir 2023.

 

"Kami akan membantu mereka mengharungi suasana semasa yang mencabar dan menyokong pemulihan ekonomi.

 

"Kami berbesar hati kerana berpeluang menjadi rakan kerjasama dalam program Accelerate yang kami percaya akan membantu PMKS, terutamanya di kawasan pedalaman untuk menguasai kemahiran dan ilmu diperlukan mereka menceburi ekonomi digital dan meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

 

Program Accelerate ialah program latihan dalam talian yang dikendalikan barisan pakar, menggunakan alat dan platform yayasan sedia ada, penceramah jemputan dan bimbingan mentor. 

 

Menerusi kerjasama tersebut, yayasan akan menerapkan kurikulum celik kewangan terkenal Visa iaitu Kemahiran Wang Praktikal ke dalam program latihan dan melibatkan pakar-pakar daripada AT&T dan juga Visa sebagai mentor atau pembimbing bagi peserta. - DagangNews.com