Produktiviti buruh di Malaysia meningkat 0.7% pada suku keempat 2023 – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Produktiviti buruh di Malaysia meningkat 0.7% pada suku keempat 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - Produktiviti buruh Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.7% pada suku keempat 2023 dengan jumlah jam bekerja meningkat 2.3% bagi mencatatkan 9.4 bilion jam, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi Malaysia menyederhana kepada 3% pada suku keempat 2023 berbanding 3.3% pada suku ketiga 2023.

 

“Bilangan pekerja menunjukkan pertumbuhan 2.5% tahun ke tahun kepada 16.3 juta orang pada suku dalam tinjauan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Dengan dorongan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan pasaran buruh, nilai produktiviti buruh setiap jam bekerja pada suku keempat 2023 telah bertambah baik 0.7%, RM43.5 setiap jam berbanding RM42.20 setiap jam dalam suku sebelumnya.

 

“Produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah bagi setiap pekerja mengekalkan pertumbuhan positif, dengan peningkatan 0.5% kepada RM25,080 setiap pekerja berbanding RM24,470 setiap pekerja dalam suku ketiga 2023,” tambah Mohd Uzir.

 

Dari segi prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh setiap jam bekerja, empat sektor mencatat kenaikan, didahului sektor pembinaan (2.6%), diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian (1.8%), sektor perkhidmatan (1.5%) dan sektor pertanian pada (1%), sementara sektor pembuatan menurun 2.8%.

 

Mengenai prestasi keseluruhan produktiviti buruh bagi keseluruhan tahun 2023, Mohd Uzir berkata prestasi produktiviti buruh setiap jam bekerja menunjukkan pertumbuhan positif 0.2% (2022: 1.8%) dengan nilai RM41.90 setiap jam (2022: RM41.8 setiap jam).

 

“Begitu juga produktiviti buruh setiap pekerja yang menunjukkan momentum positif pada 0.9% (2022: 5.4%) untuk mencatatkan nilai ditambah setiap pekerja sebanyak RM96,692 (2022: RM95,858). 

 

“Dua sektor iaitu pembinaan dan perkhidmatan mempamerkan momentum positif yang stabil manakala sektor lain terus turun naik,” katanya.

 

Beliau merumuskan bahawa usaha yang lebih padu diperlukan untuk memacu pertumbuhan produktiviti industri.

 

“Namun begitu, prospek ini tertakluk kepada konteks global yang mencabar iaitu pasaran yang semakin kompetitif dan trend makroekonomi global yang tidak menentu,” katanya. - DagangNews.com