KUALA LUMPUR 6 Sept - RHB Securities Research memberi nilai wajar pada RM2.26 sesaham terhadap Aurelius Technologies Bhd. (ATech) memandangkan ia akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan permintaan bagi produk IoT dan pasaran litar bersepadu semikonduktor.
Menurut firma itu, potensi pertumbuhannya dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 30.9% disokong eningkatan barisan pengeluaran baharu untuk pelanggan pertumbuhan tinggi dan bakal pelanggan baharu.
"Disebabkan pertumbuhan margin (daripada skala ekonomi yang lebih baik) dan produk modul IoT dan semikonduktor yang lebih menguntungkan, kami menganggap penilaian pasarannya sebanyak 11.6 kali harga perusahaan (PE) bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23) sebagai menarik, berbanding purata pemain industri, 14 kali," katanya dalam nota kajian hari ini.
ATech komited untuk melancarkan barisan pengeluaran teknologi pelekap permukaan (SMT) keenamnya menjelang suku ketiga FY23, dan barisan SMT ketujuh dan kelapan pada suku kedua FY24 di Loji 2 untuk Pelanggan F (penjual modul IoT terbesar China).
Ini membolehkannya mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga dua juta unit sebulan, yang akan diterjemahkan kepada anggaran jualan kira-kira RM4 hingga RM6 juta sebulan daripada Pelanggan F.
Selain itu, ATech juga telah menyediakan barisan SMT am baharu di Loji 3 untuk pelanggan baharu, yang berasaskan barangan pukal.
Sementara itu, baki ruang lantai di Loji 3 membolehkan kumpulan menambah tiga hingga empat lagi barisan untuk bakal pelanggan baharu yang menguntungkan dan sedang berunding dengannya.
Pada masa sama, ATech juga layak memohon elaun pelaburan semula khas dalam talian SMT bagi tahun taksiran sehingga FY24.
Menurut RHB Research, dengan keupayaan kukuhnya melaksanakan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang kompleks, ATech melihat permintaan lebih tinggi daripada pelanggan produk IoTnya, dan juga sedang berbincang dengan beberapa pelanggan baharu yang menguntungkan.
Katanya, ketibaan mesin auto-back-end (sejajar dengan peningkatan pengeluarannya), dijangka memperlihatkan hasil yang lebih tinggi daripada Pelanggan F.
"Difahamkan pelanggan ini mempunyai bahagian pasaran global terbesar dalam modul IoT selular, untuk komponen IC berbilang yang digunakan dalam peranti elektronik (berasaskan barangan pukal).
"Memandangkan ia meningkatkan barisan pengeluaran secara progresif, skala ekonomi juga dijangka bertambah baik dari segi perbelanjaan produktiviti dan susut nilai, sekali gus meningkatkan pertumbuhan margin," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu menjangkakan CAGR 3 tahun sebanyak 30.9% dipacu permintaan sekular bagi produk IoT dan semikonduktor serta pelan pengembangan yang agresif.
Setakat 12.13 tengah hari, harga saham ATech menokok 3 sen atau 1.99% kepada RM1.54 dengan 302,100 saham diniagakan. - DagangNews.com








