PRO-NET peroleh RM200 juta kemudahan pembiayaan daripada CIMB | DagangNews Skip to main content

PRO-NET peroleh RM200 juta kemudahan pembiayaan daripada CIMB

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 April - Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) memperoleh pembiayaan RM200 juta daripada CIMB Bank Berhad (CIMB) bagi membiayai import dan pengedaran kenderaan elektrik premium (EV) smart #1 di Malaysia.

 

Pembiayaan daripada CIMB itu termasuk bagi membiayai inisiatif mobiliti hijau PRO-NET yang merupakan pengimport dan pengedar sah eksklusif untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand. 

 

smart #1 adalah model pertama yang dijual oleh PRO-NET dan dibina di atas Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA) dan digayakan oleh Mercedes-Benz. 

 

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Roslan Abdullah berkata, pihaknya akan menggunakan pembiayaan ini untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EV.

 

Menurut beliau, selain itu, pembiayaan ini juga akan digunakan bagi mengembangkan rangkaian untuk pengalaman runcit yang lebih lancar yang akan memudahkan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik, sejajar dengan objektif sifar karbon.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 200 unit EV smart #1 didaftar sejak dilancar dalam tempoh kurang dua bulan

 

"Pengiktirafan daripada CIMB terhadap peluang pasaran serta pendekatan proaktif mereka dalam menyokong inisiatif pengembangan kami menunjukkan jenis perkongsian yang amat kami hargai di PRO-NET.

 

"Kami berterima kasih kepada CIMB atas peluang yang diberikan kepada PRO-NET dan PROTON untuk mengembangkan penawaran kami dan menyediakan pelbagai pilihan model EV bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang sentiasa berubah. 

 

"Ini bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhan kami, tetapi juga mengukuhkan keyakinan pelanggan dan memudahkan peralihan ke arah peningkatan penggunaan kenderaan elektrik," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

pro-net
[Dari Kiri ke Kanan] Rufimy Yii See Khin, Ketua Kewangan Mampan Serantau, CIMB Group, Lee Heng Keng, Ketua Perbankan Korporat Kumpulan, CIMB Group, Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Borong Kumpulan, CIMB Group, Roslan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Wang Huaibing, Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET

 

PRO-NET menawarkan penyelesaian mobiliti elektrik bersama-sama jaminan pelan perkhidmatan pelanggan yang mantap menerusi ekosistem komprehensif merangkumi 13 lokasi pengedar cawangan smart dan perkhidmatan selepas jualan.

 

Ini termasuk aplikasi digital mesra pengguna yang dikenali sebagai 'Hello smart' untuk menyediakan akses kepada lebih 70% rangkaian pengecasan awam. 

 

smart

 

Syarikat itu juga bertanggungjawab untuk memenuhi komitmen pengeluar kereta nasional PROTON terhadap agenda kenderaan elektrik dan bersedia memainkan peranan penting apabila memimpin peralihan ke arah pengeluaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan, CIMB Group, Novan Amirudin berkata, pihaknya menyokong PRO-NET dalam memajukan inisiatif mobiliti hijau. 

 

"Urus niaga ini menekankan komitmen CIMB dalam menyokong pelanggan di pelbagai industri untuk memajukan agenda ESG mereka dan menyumbang kepada impak positif melalui penyelesaian kewangan yang mampan. 

 

"Langkah ini selaras dengan aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank utama di ASEAN dan menjadi peneraju dalam kelestarian di rantau ini, seperti yang dinyatakan dalam pelan strategik Forward23+ kami," ujarnya.

 

CIMB telah melancarkan rangkaian penyelesaian kewangan EV yang komprehensif untuk merangsang penggunaan EV dan menyokong peralihan ke arah mobiliti mampan di seluruh ASEAN. 

 

Penyelesaian ini merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk kadar pembiayaan kereta utama, perlindungan insurans, dan pelbagai keistimewaan eksklusif lain yang memudahkan pengguna dalam setiap aspek memiliki EV.  - DagangNews.com