KUALA LUMPUR 13 Julai - Prestasi Tasco Berhad dijangka lebih baik dalam separuh kedua tahun ini memandangkan aktiviti perdagangan kian pulih serta sumbangan daripada gudang baharu dan insentif cukai, kata RHB Investment.
Firma penyelidikan itu berkata demikian setelah menjangkakan Tasco perlahan dalam suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) yang berakhir Mac 2023 disebabkan faktor bermusim dan aktiviti perdagangan yang lebih perlahan.
Jelasnya, prestasi lebih lemah pada 1QFY23 memandangkan jumlah muatan yang lebih perlahan pada bulan April dan Mei, dan persekitaran kadar tambang yang lemah akibat kekurangan aktiviti.
Sementara itu, RHB Investment berkata ahli ekonominya menekankan pendapat mereka bahawa pertumbuhan global pulih pada separuh kedua tahun ini, seiring dengan tanda-tanda peningkatan dalam pengeluaran perindustrian, jualan runcit dan data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) di kebanyakan ekonomi Asia selain Jepun.
“Momentum perdagangan Malaysia mungkin akan meningkat pada separuh kedua 2023 (2H23), memberi petanda baik untuk pemain logistik seperti Tasco,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, gudang baharu Tasco di Shah Alam (dijangka siap pada 4QFY24) dan di Westport (dijangka siap menjelang November) dijangka menjana pendapatan sewa sekitar RM20 juta setahun (tidak termasuk perkhidmatan lain).
RHB Investment mengurangkan pendapatan FY24 sebanyak 6.6% untuk mengambil kira pasaran kargo yang kembali normal.
“Penilaian Tasco di bawah industri sebanyak 6.9x memberikan pelaburan yang menarik kepada pemain logistik bersepadu terkemuka negara itu dengan pendapatan dan penjanaan aliran tunai yang konsisten,” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan beli dengan harga sasaran (TP) RM1.83 sesaham.
Pada waktu penulisan, saham Tasco menokok 1 sen atau 1.2% kepada 82.5 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM660 juta.- DagangNews.com







