Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Sept. - Prestasi kewangan terutamanya segmen perladangan dan gula yang lebih baik dicatatkan oleh FGV Holdings Berhad pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) telah mendorong penganalisis untuk meningkatkan unjuran keuntungan bersih kumpulan bagi tahun kewangan semasa.
Firma penyelidikan, MIDF Research meningkatkan unjuran keuntungan bersih bagi FY21 sebanyak 33.8% kepada RM391.8 juta, serentak dengan semak naik unjuran keuntungan bersih FGV bagi FY22 dan FY23, masing-masing meningkat 3.1% kepada RM315.1 juta dan 9.2% kepada RM334.4 juta.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) yang baik dengan pengeluaran buah sawit segar (FFB) pada kadar sederhana akan menyumbang prestasi kewangan yang lebih baik buat kumpulan.
“Dalam pada itu, purata harga jualan (ASP) gula halus yang dijangka lebih tinggi dan peningkatan dalam jumlah jualan akan membantu MSM Malaysia Holdings Berhad untuk mencapai margin keuntungan lebih tinggi dalam tempoh beberapa suku tahunan akan datang.
“Setelah mengambil kira kesemua faktor itu, kami menyemak naik saranan kepada ‘beli’ ke atas saham FGV dengan harga sasaran (TP) diubahsuai kepada RM2.29 daripada RM1.33. TP yang disemak semula ini mencerminkan unjuran jumlah pulangan pada kadar 54.95%,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.
Pada 2QFY21, kumpulan menyaksikan perolehannya menokok lebih 100% kepada RM344.1 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh margin lebih tinggi dalam segmen perladangan dan gula.
Seiring lonjakan itu, perolehan ternormal FGV pada separuh pertama FY21 (1HFY21) meningkat lebih 100% kepada RM308.9 juta daripada -RM116.3 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Baca : Untung bersih FGV bagi Q2 melonjak kepada RM338.82 juta
Di sebalik ramalan yang lebih positif oleh MIDF itu, HLIB Research bagaimanapun menurunkan unjuran keuntungan bersih FGV bagi tahun kewangan semasa sebanyak 15.1% yang mengambil kira jangkaan output FFB lebih rendah dan perolehan lebih tinggi daripada segmen gula kumpulan.
Namun, unjuran keuntungan bersih utama FGV pada FY22 dan FY23 dinaikkan, masing-masing sebanyak 15.4% dan 12.1%.
“Pihak pengurusannya menjangkakan bahawa output FFB akan menyusut sebanyak 3% hingga 4% pada FY21 daripada unjuran pertumbuhan output 2% hingga 4% sebelum ini, ekoran output FFB yang lebih rendah dicatatkan pada 1H21 (-5.2%) dan kekurangan tenaga buruh (buruh asing ketika ini mewakili 74% daripada jumlah keperluannya dan pihak pengurusan percaya bahawa keadaan ini akan berterusan hingga ke bulan-bulan yang berbaki dalam FY21),” jelas penganalisis di HLIB Research, Chye Wen Fei.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' saham FGV dengan TP tidak berubah pada kadar RM1.48 sesaham. - DagangNews.com








