Prestasi kewangan Perak Transit dijangka mendatar pada Q2 - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan Perak Transit dijangka mendatar pada Q2 - AmInvest

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Di sebalik persekitaran operasi yang mencabar, Perak Transit Bhd. dijangka merekodkan prestasi kewangan yang mendatar bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021. 

 

Bagaimanapun, AmInvestment Bank Research berpendapat, ramalan itu adalah bersesuaian dengan mengambil kira pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara termasuk Perak sejak Mei lalu. 

 

Pada suku pertama 2021, untung bersih syarikat pengendali pengangkutan awam itu meningkat 55.6% tahun ke tahun kepada RM13.4 juta. 

 

Firma itu menganggarkan untung bersih bagi tempoh 6 bulan pula dijangka berlegar antara RM25 hingga RM29 juta, meningkat 50% hingga 74% tahun ke tahun.

 

Ini berdasarkan jangkaan untung bersih separuh pertama merangkumi 51% hingga 59% anggaran penuh firma itu sebanyak RM49.3 juta dan 49% hingga 57% anggaran konsensus sebanyak RM50.9 juta bagi Perak Transit.

 

Menurut AmInvestment, pertumbuhan kukuh ini didorong oleh operasi terminal penangkutan awam bersepadu (IPTT) dan pendapatan pengiklanan baharu dari Terminal Sentral Kampar Putra yang dibuka pada September 2020.

 

Katanya, pendapatan menerusi pengiklanan dan bayaran kemudahan projek menyumbang lebih 95% kepada terminal, dilihat dapat membantu Perak Transit mencatat prestasi yang kukuh di sebalik pelaksanaan PKP dan juga langkah-langkah kawalan kos dan kos kewangan yang rendah. 

 

"Namun, kami menjangkakan sumbangan pendapatan daripada operasi stesen minyak dan pengangkutan bas yang tidak banyak berubah di tengah-tengah pelaksanaan PKP.

 

"Tetapi, kedua-duanya bukan penyumbang dan pemacu pertumbuhan utama Perak Transit," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Perak Transit dan mengurangkan harga nilai saksama kepada RM1.05 berbanding RM1.21 sebelum itu. 

 

Bagaimanapun, firma itu terus cenderung memilih Perak Transit berdasarkan beberapa kelebihan antaranya, model perniagaannya yang unik dengan menyamai terminal pengangkutan awam model seperti lapangan terbang.

 

"Selain itu, model perniagaanya terbukti berdaya maju yang boleh dilihat menerusi Terminal Meru Raya, ipoh dan Kampar Putra Sentral serta mempunyai peluang yang besar untuk menjadikan contoh kepada kejayaan model perniagaan ini.

 

"Ketika ini, Perak Transit memiliki lagi 3 projek dalam perancangan iaitu di Bidor, Tronoh dan Alor Setar," katanya. - DagangNews.com