Prestasi FY22 AEON Credit mengecewakan, MIDF Research turunkan TP kepada RM15 dengan saranan 'neutral' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi FY22 AEON Credit mengecewakan, MIDF Research turunkan TP kepada RM15 dengan saranan 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 April - MIDF Research menyemak semula penarafan saham AEON Credit Service (M) Bhd. kepada 'neutral' daripada 'trading buy' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM15 berbanding RM15.20. 

 

Firma itu juga mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2023 (FY23)-FY24 sebanyak -14.3% dan -8.8% selepas mengambil kira peningkatan dalam kerugian rosot nilai secara beransur-ansur. 
 

Menurutnya, AEON Credit mencatatkan prestasi FY22 yang mengecewakan terutama diheret turun oleh prestasi suku keempat berakhir 28 Februari 2022. 

 

"Walaupun kami percaya situasi buruk masih wujud, tetapi ia tetap terdedah kepada keadaan tidak dijangka.

 

"Namun, kami yakin, kumpulan akan mengekalkan kenaikan trajektori pendapatan, secara berperingkat-peringkat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Perolehan AEON Credit susut 10.7% bagi Q4FY22

 

Bagi suku keempat berakhir 28 Februari 2022, pendapatan AEON Credit mencatat penurunan sebanyak 10.7% kepada RM362.97 juta berbanding RM406.35 juta bagi tempoh sama tahun.

 

Keuntungan bersih juga susut 79.4% kepada RM23.38 juta daripada RM113.72 juta disebabkan oleh peruntukan yang lebih tinggi untuk kerugian rosot nilai ke atas pembiayaan belum terima.

 

Untuk FY22, keuntungan bersih bagaimanapun meningkat kepada RM365.42 juta daripada RM233.96 yang direkodkan setahun sebelumnya. Sebaliknya, pendapatan merosot kepada RM1.52 bilion daripada RM1.56 bilion.

 

Secara keseluruhan, untung bersih yang direkodkan bagi FY22 adalah di bawah jangkaan MIDF Research iaitu 83.7% daripada unjuran tahun penuh. Ia disebabkan prestasi lemah suku keempat yang tidak dijangka.

 

Firma itu juga mendapati, nisbah pinjaman tidak berbayar meningkat 91 mata asas bagi asas suku tahunan. 

 

"Ini berikutan aktiviti kutipan yang lebih rendah kerana produktiviti kakitangan terjejas akibat banjir dan peningkatan kes COVID-19," katanya.

 

Setakat 9.21 pagi ini, harga saham AEON Credit susut 18 sen atau 1.2% kepada RM14.76 dengan 3,400 saham diniagakan. - DagangNews.com