KUALA LUMPUR 3 April - PPB Properties yang merupakan divisyen hartanah PPB Group Bhd, melancarkan Lumina Bedong yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM900 juta dan sasaran siap pada 2035.
PPB Properties dalam kenyataan berkata, perbandaran yang terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 228 ekar itu, menampilkan kira-kira 1,500 unit rumah teres mampu milik dan dibina secara strategik dengan pelbagai kemudahan, serta komponen komersial dan kemudahan rekreasi.
Katanya, sebagai sebahagian daripada Fasa 1, PPB Properties akan melancarkan 221 unit rumah teres 1.5 tingkat dan 1 tingkat.
"Pusat tumpuan rumah kediaman ini ialah taman seluas 2.3 ekar dengan pelbagai kemudahan, termasuk gelanggang futsal, denai joging, gimnasium terbuka dan tanah permainan kanak-kanak, sesuai untuk keluarga," katanya.
Menurut kenyataan itu, perbandaran itu juga akan terdiri daripada hab komersial seluas 23 ekar, menjadikannya pembangunan komersial terbesar dalam kawasan tersebut.
"Di samping memberikan kemudahan kepada penduduk, ruang ini akan memacu perniagaan baharu, peluang pekerjaan untuk masyarakat dan menarik orang ramai ke Bedong," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif PPB Properties, Low Eng Hooi berkata, pihaknya membina reputasi cemerlang dalam menghasilkan ruang kediaman, pusat beli-belah dan komersial bernilai tinggi sejak 40 tahun lalu.
Katanya, dengan pelancaran baharu Lumina Bedong, syarikat itu kini bersiap sedia untuk melebarkan sayap ke wilayah utara.
"Dengan pembangunan Lumina Bedong, kami bersedia untuk merancakkan semula dan mengubah landskap Bedong. Kami berharap dapat memacu landskap sosio-ekonomi kawasan itu melalui komponen kediaman, komersial dan rekreasi kami.
"Kami yakin bahawa Lumina Bedong akan berkembang menjadi sebuah perbandaran yang meriah pada masa hadapan, menjadikannya lokaliti utama di Kedah," katanya.
Selain itu, perbandaran ini mempunyai laluan yang mudah untuk ke pusat bandar Bandar Sungai Petani.
Ia terletak secara strategik di sepanjang jalan utama Alor Setar-Sg Petani, dengan pelbagai kemudahan berdekatan seperti sekolah, unit perniagaan dan Econsave pertama di Bedong. - DagangNews.com








