KUALA LUMPUR 22 Nov - Hong Leong Investment Bank (Research) menyemak turun harga sasaran Pos Malaysia Bhd. kepada 60 sen daripada 61 sen sesaham sebelum itu dengan mengekalkan saranan 'pegang' memandangkan prospek kumpulan masih suram.
Sejajar semakan itu, ia mengurangkan unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) kepada -RM86.8 juta manakala FY23 dan FY24 masing-masing kepada -RM8.6 juta dan RM16.2 juta, dengan mengambil kira pertumbuhan jumlah bungkusan yang lebih rendah.
Menurut firma itu, prospek pemulihannya masih membimbangkan kerana persaingan dalam ruang penghantaran jarak jauh kekal sengit, seperti yang terbukti oleh pengumuman Nationwide Express baru-baru ini untuk menghentikan operasi secara beransur-ansur.
Namun, katanya, kumpulan melaksanakan pelan bagi mengurangkan impak penurunan jumlah bungkusan dengan meningkatkan hasil keseluruhan bungkusan dan mengurangkan kos pengangkutan melalui penambahbaikan produktiviti.
"Pos Malaysia dan pemain industri lain juga mengadakan sesi libat urus dengan pengawal selia, dengan harapan untuk mengenakan harga lantai untuk setiap bungkusan bagi mewujudkan kesamarataan bagi semua penyedia perkhidmatan kurier," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Transformasi Pos Malaysia semakin berkesan, kerugian suku ketiga berkurangan kepada RM36.2 juta
Bagi suku berakhir 30 September 2022, penyedia perkhidmatan pos dan kurier ini merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM36.2 juta, susut 10.5% berbanding RM40.5 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun pendapatan susut 8.3% kepada RM492 juta pada suku berkenaan.
Untuk tempoh sembilan bulan, Pos Malaysia menyaksikan LBT juga berkurangan sebanyak 68% kepada RM65.9 juta berbanding RM206 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu dengan pendapatan merosot 10.3% kepada RM1.49 bilion.
Menurut HLIB, kumpulan merekodkan kerugian besih teras sebanyak RM43.6 juta pada suku ketiga menjadikan kerugian bersih untuk tempoh sembilan bulan meningkat kepada RM73.5 juta.
"Keputusan ini adalah di bawah jangkaan kami dan konsensus masing-masing pada -RM77.4 juta dan -RM63.9 juta," katanya.
Setakat 9.46 pagi, harga saham Pos Malaysia susut 3 sen atau 4.92% kepada 58 sen dengan 297,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








