KUALA LUMPUR 4 Sept - Pos Malaysia telah mencapai 96% dalam prestasi penghantaran dijamin berbanding purata industri sebanyak 78%, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Charles Brewer.
Memetik data Kajian Cabaran Kurier yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2022, beliau menambah bahawa ia turut mencapai sejumlah 91% untuk kebolehpercayaan berbanding purata industri sebanyak 83%.
Brewer berkata Pos Malaysia menunjukkan prestasi membanggakan melebihi sasaran Kesatuan Pos Sedunia, mencapai lebih 90% dalam pelbagai kategori, termasuk Mel Antarabangsa, Perkhidmatan Mel Ekspres dan Bungkusan pada suku kedua 2023..
"Pada tahun lalu, kami secara konsisten mencapai lebih 90% daripada komitmen penghantaran Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA). Pada Jun 2023, penghantaran bungkusan pada hari berikutnya mencapai 92% komitmen penghantaran, manakala penghantaran mel mencapai 97%," lapor Bernama memetik sumber.
Kumpulan itu berhasrat untuk terus meningkatkan asas pelanggannya dengan membantu perniagaan menghantar barangan kepada pengguna dengan cekap, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi mereka secara menyeluruh.
Brewer berkata Pos Malaysia juga menyediakan Pos Fulfill, iaitu perkhidmatan pemenuhan yang menyeluruh untuk pelanggan perniagaan, daripada ‘first mile’ (logistik penghantaran) hingga ‘mid mile’ (pergudangan dan pemenuhan pesanan) dan ‘last-mile’ (penghantaran akhir).

Agar kekal berdaya saing, Pos Malaysia telah merangka strategi untuk meningkatkan aliran pendapatannya melalui kerjasama dengan pihak ketiga, menawarkan hasil lebih besar bagi setiap jumlah pengunjung.
"Strategi runcit Pos Malaysia menyasarkan untuk memacu jumlah pengunjung ke 633 cawangan pejabat posnya, memanfaatkan lebih 3.2 juta kaki persegi ruang runcit dengan menukar ruang yang ada kepada kedai runcit/kesihatan," katanya, merujuk kepada pusat runcit sehenti, Pos Shop yang dibuka pada Mei lalu di Pejabat Pos Medan Tuanku.
Ia turut bekerjasama dengan Café Mesra dan ZUS Coffee, di mana pelanggan yang menggunakan perkhidmatan pos di lokasi terpilih akan dapat menikmati makanan dan minuman pada masa yang sama.
Melangkah ke hadapan, Brewer berkata Pos Malaysia kekal komited untuk memupuk kemampanan dalam menyesuaikan dan mengubah perniagaannya untuk masa depan yang lebih mesra alam, di mana Pelan Hala Tuju Kelestarian Pos Malaysia telah dilancarkan pada Mei lalu.
Kumpulan itu juga merancang untuk memastikan 50% kadar kitar semula sisa operasi, 80% bahan kitar semula atau boleh diperbaharui untuk semua pembungkusan dan 50 % latihan dilakukan secara digital.
“Pada masa ini, kami mempunyai stesen pengecas kenderaan elektrik di enam pejabat Pos Malaysia di seluruh negara, dan memiliki 105 e-Bike di jalan raya dan panel solar di tiga kemudahan.
"Menjelang 2025, 28% daripada keseluruhan kenderaan akan menjadi elektrik dan mencapai 100% menjelang 2030," tambahnya. - DagangNews.com








