PM terharu warga emas uzur gagahkan diri ambil bantuan banjir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM terharu warga emas uzur gagahkan diri ambil bantuan banjir

Foto Bernama

KUALA LUMPUR 2 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa terharu apabila seorang warga emas yang uzur mengambil sendiri bantuan keperluan yang disampaikan beliau di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 3, Kuala Terengganu.

 

Ismail Sabri berkata, ia membuktikan semangat sebuah Keluarga Malaysia yang kuat dan tidak pernah padam walaupun ketika menghadapi pelbagai dugaan. 

 

"Semasa menyampaikan Bantuan Wang Ihsan dan barang keperluan untuk mangsa banjir di PPS SK Batu 3, Kuala Terengganu. 

 

"Berasa amat terharu ketika seorang warga emas di PPS, ingin mengambil sendiri bantuan yang saya sampaikan walaupun beliau sudah uzur.

 

"Semangat sebuah Keluarga Malaysia yang kuat dan tidak pernah padam walaupun ketika menghadapi pelbagai dugaan," katanya menerusi ciapan di Twitter rasminya hari ini.

 

Sementara itu, beliau turut menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.

 

Beliau tiba di PPS berkenaan pada 2.15 petang dengan diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

 

"Sebanyak RM1,000 bantuan wang ihsan.. dan RM2,500 untuk membeli barangan keperluan rumah. Kemudian untuk baiki rumah semua, adalah lagi... seperti saya umum dahulu, sama sahaja," katanya ringkas kepada pemberita di PPS berkenaan.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan bantuan kepada warga emas yang uzur di PPS SK Batu 3, Kuala Terengganu

 

 

Beliau berkata jika dicampur semua bentuk bantuan berkenaan termasuk baucar pembelian barangan, nilai yang diterima setiap isi rumah mencecah hampir RM10,000.

 

Hari ini 76 ketua isi rumah menerima wang tunai RM1,000 bagi meringankan beban ditanggung susulan banjir besar yang melanda daerah itu Ahad lepas.

 

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan orang ramai, sebelum menyampaikan sumbangan berkenaan kepada mangsa banjir.

 

Hulu Terengganu merupakan daerah paling teruk terjejas akibat banjir, susulan beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, turut terlibat kali ini, sehingga menyebabkan kerosakan harta benda yang serius, lapor Bernama.

 

Setakat pukul 2 petang tadi, jumlah penduduk yang dipindahkan ke 68 PPS di daerah Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu, berjumlah 15,317 orang daripada 4,011 keluarga. - DagangNews.com