PM tepis dakwaan pembangkang perbelanjaan pembangunan RM95 bilion hanya untungkan taikun, konglomerat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM tepis dakwaan pembangkang perbelanjaan pembangunan RM95 bilion hanya untungkan taikun, konglomerat

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan para kontraktor selepas merasmikan Konvensyen Kontraktor Melayu 3.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan PKMM ke-43 di WTC Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2022. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 18 Okt - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan pembangkang perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM95 bilion dalam Bajet 2023 hanya untuk taikun dan kumpulan konglomerat.

 

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata perbelanjaan pembangunan itu juga untuk manfaat rakyat dan kontraktor kecil serta projek pembangunan luar bandar, lapor Berita Harian.

 

"Pihak pembangkang keluarkan video menyatakan bajet DE RM95 bilion itu akan menguntungkan taikun dan kumpulan konglomerat.

 

"Mereka lupa DE itu bukan saja projek mega tetapi juga projek sambungan projek dan projek pembangunan luar bandar termasuk pembinaan Projek Pan Borneo, ini kita buat adalah untuk kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

 

"Sebagaimana kita semua tahu, infrastruktur dan jalan di Sabah dan Sarawak perlu dibangun dengan infrastruktur yang lebih moden... ini tanggungjawab kerajaan.

 

"Begitu juga Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyediakan puluhan ribu kerja dengan peruntukan besar yang dapat memberi faedah kepada rakyat dan kontraktor kecil," katanya.

 

 

bajet

 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kontraktor Melayu 3.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu (PKMM) ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini. - DagangNews.com