PM suarakan hasrat adakan lawatan rasmi ke China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM suarakan hasrat adakan lawatan rasmi ke China

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) menerima kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi hari ini. - Gambar PMO
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 12 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke China serta kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang dalam masa terdekat.

 

Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, hasrat tersebut disuarakan selepas menerima kunjungan hormat Penasihat Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi, hari ini. 

 

Beliau berkata, kunjungan Wang Yi  merupakan langkah positif ke arah meningkatkan hubungan Malaysia-China.

 

"Kami berbincang dalam suasana mesra selama satu jam, mengenai hubungan dua hala serta kepentingan dalam membangunkan ekonomi digital.

 

"Wang Yi telah menyatakan bahawa Kerajaan China terus memberikan keutamaan untuk meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia, terutamanya bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi  kedua-dua negara pada hari ini, seperti inflasi global dan keselamatan makanan," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, Wang Yi turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia di atas peluang yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat infrastruktur China untuk terlibat sama dalam projek pembangunan negara, antaranya pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mana pihak China berhasrat untuk meneruskan kesinambungan jaringan landasan keretapi yang turut melibatkan Laos dan Thailand.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, China perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keamanan dunia dikekalkan.  

 

 

pm

 

 

pm

 

 

"Saya menyuarakan pandangan bahawa setiap konflik yang berlaku wajar diselesaikan di meja rundingan dan bukan melalui peperangan. Saya turut menyampaikan ucap selamat kepada Presiden Xi Jinping dan Premier Li Keqiang," katanya.

 

Katanya, dalam masa sama, kerajaan juga mengalu-alukan minat lebih banyak delegasi rasmi dan perniagaan dari China seperti Huawei untuk sama-sama terlibat dalam inisiatif Kerajaan Malaysia. - DagangNews.com