PM lancar Rangka Tindakan Perumahan 3.0 MINDEF, jamin kemudahan kediaman selesa kepada warga ATM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM lancar Rangka Tindakan Perumahan 3.0 MINDEF, jamin kemudahan kediaman selesa kepada warga ATM

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Julai – Rangka Tindakan Perumahan 3.0 MINDEF (BP3.0) dilancarkan hari ini bagi menambah baik aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

 

Ini termasuklah veteran dan warga awam yang mendokong aspirasi Keluarga Malaysia dalam melestarikan kebajikan warga kerja pertahanan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rangka tindakan itu akan memastikan perancangan Agenda Perumahan MINDEF yang bermula dari 2022 hingga 2030 dapat dilaksanakan dengan teratur. 

 

Katanya, ia seterusnya dapat menjamin kemudahan perumahan kepada warga kerja pertahanan yang telah banyak menyumbang bakti kepada kedaulatan negara dan paling banyak berkorban demi membela keselamatan Keluarga Malaysia.

 

"Kerajaan menyanjung tinggi pengorbanan warga kerja Pertahanan yang tidak menghiraukan penat lelah untuk mempertahankan keamanan negara tanpa mengira masa dan tempat, malah sanggup meninggalkan keluarga untuk berjuang di perbatasan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran BP3.0 hari ini yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

 

 

PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat model Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT).

 

 

BP3.0 adalah rentetan daripada BP1.0 dan BP2.0 yang menyaksikan sebanyak 4,200 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) berjaya disiapkan dan diduduki.

 

Menurut Perdana Menteri, pelbagai inisiatif dilaksanakan di bawah rangka tindakan itu seperti Rumah RKMAT, program Satu Rumah Satu Anggota (SASaR) dan perumahan mampu milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta program-program pembaikan dan pembinaan rumah veteran ATM.

 

Beliau menekankan bahawa BP3.0 adalah projek perumahan jangka panjang Kementerian Pertahanan yang menitik beratkan kebajikan warganya. 

 

"Perancangannya cukup besar dan meluas, yang bukan sahaja menuntut komitmen dan kesungguhan yang tinggi, malah memerlukan kerjasama yang erat daripada semua pihak terbabit.

 

"Matlamatnya adalah untuk memastikan lebih banyak RKMAT dibina dan diselenggara, lebih banyak rumah mampu milik dibina dan lebih ramai veteran ATM diberi rumah baru dan ditambahbaik kediaman sedia ada," katanya. - DagangNews.com