SIBU 14 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan pembukaan Jajaran Selangau di sini sepanjang 27 kilometer (km) yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM588 juta.
Ismail Sabri berkata, ia merupakan antara jajaran dalam Pakej Kerja 08 yang termasuk kerja-kerja naik taraf jalan raya sedia ada daripada Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 67 km yang mula dibina sejak November 2016.
Beliau berkata, skop pembinaan jajaran ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan yang sedia ada, pembinaan tujuh buah jambatan, 19 buah hentian bas dan sebuah persimpangan bertingkat.
"Kerja-kerja pembinaan telah siap sepenuhnya pada 14 November 2022. Projek ini membuka peluang kepada Keluarga Malaysia di Sarawak untuk terlibat sama sebagai perunding, pembekal atau kontraktor, dalam memacu ekonomi tempatan dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi selain menyumbang kepada pembangunan negeri Sarawak.
"Projek yang dirancang rapi dan bersifat 'holistic' antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, juga bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) bagi membolehkan Sarawak mencapai taraf sebagai sebuah negeri maju," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Jalan Seksyen Selangau, Pakej Kerja Jambatan Sungai Kua-Jambatan Sungai Arip (WPC08), Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di tapak jejambat Selangau.
Secara keseluruhannya katanya, projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik keseluruhan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Lawas sepanjang 1,046 km.

"Keseluruhan jajaran ini dinaikkan taraf kepada empat lorong dua hala sepanjang 192 km di bawah rancangan pembangunan lima tahun negara, manakala baki sepanjang 862 km akan dilaksanakan dalam dua fasa," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dengan penelitian teknikal kini di peringkat akhir, dua lagi projek mega di utara negeri ini iaitu Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) akan dimulakan seawal tahun hadapan dan pembinaannya bakal memakan masa tiga hingga lima tahun.
Beliau berkata, kedua-dua projek mega ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya.

"Pilihan pertama, pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas melalui negara Brunei Darussalam, boleh menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96 km yang bakal ditambah baik kepada dua
lorong dua hala.
"Pilihan kedua, pengguna jalan raya dari Miri boleh ke Limbang dan Lawas tanpa melalui Brunei Darussalam menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326 km. Ia merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sejauh 77 km," katanya.

Beliau berkata, projek mega ini yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion, membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.
"Fasa 2 Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada ‘jalan laluan balak’ sebagai jalan perhubungan utama," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bagi Fasa 1, Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 km yang dibahagikan kepada 11 Pakej Kerja dari Telok Melano ke Miri, kerja-kerja pembinaan kini pada tahap 89% siap.
"Insya-Allah, ia bakal siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan," katanya.


Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sejak pelancaran inisiattif PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada September lepas, 350,000 permohonan telah diluluskan dan lebih 220,000 atau 60% tablet telah diedarkan.
"Bagi Negeri Sarawak, sejumlah 22,265 permohonan telah diluluskan dan daripada jumlah itu, sebanyak 16,505 atau 70% tablet telah diagihkan kepada mahasiswa yang layak.
"Saya juga difahamkan bahawa sesi agihan turut dijalankan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada hari ini melibatkan lebih 400 mahasiswa di sekitar Sibu," katanya. - DagangNews.com








