PM Ismail Sabri tidak lupa kenangan bergelar mahasiswa undang-undang UM | DagangNews Skip to main content

PM Ismail Sabri tidak lupa kenangan bergelar mahasiswa undang-undang UM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima lukisan memaparkan wajah beliau sewaktu bergelar mahasiswa Fakulti Undang-Undang UM. - Gambar PMO
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengimbau nostalgia bergelar mahasiswa Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) sempena sambutan jubli emas fakulti institut pengajian tinggi itu.

 

Ismail Sabri berkata, beliau merupakan salah seorang mahasiswa undang-undang daripada kohort kesembilan yang menjejak kaki ke universiti itu pada tahun 1980. 

 

Katanya, beliau kemudiannya menjadi pengamal undang-undang dan bertugas sebagai peguamcara dan peguambela di Mahkamah Tinggi Malaya.

 

Beliau berkata, Fakulti Undang-Undang UM telah membuka pintu buat pertama kalinya kepada pelajar-pelajar pada bulan September 1972, dengan matlamat untuk membina negara melalui profesion undang-undang yang dididik dalam negara.

 

"Ini adalah satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Saya dapat melihat rakan-rakan seangkatan saya turut hadir pada petang ini. Pengalaman menjadi sebahagian daripada fakulti ini, merupakan detik manis buat kita semua.

 

"Saya masih ingat, mahasiswa fakulti undang-undang ketika itu, mewakili pelbagai latar belakang, pelbagai demografi dari kampung dan bandar, dari taraf ekonomi yang berbeza-beza menimba ilmu di bawah satu bumbung.

 

"Hari ini, kita dapat menyaksikan kejayaan Alumni Fakulti Undang-Undang UM dalam badan kehakiman, sektor perundangan, pentadbiran negara, politik tanah air, badan korporat, pendidikan negara, institusi antarabangsa dan lain-lain," katanya ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang UM di Dewan Tunku Canselor UM di sini.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melakukan gimik perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang UM di Dewan Tunku Canselor UM.

 

 

Ismail Sabri berkata, tanpa disedari tiga tiang seri yang penting kepada sistem demokrasi negara dipimpin oleh Alumni Fakulti Undang-Undang UM iaitu Badan Eksekutif dipimpin beliau sebagai Perdana Menteri, yang merupakan produk Fakulti Undang-Undang UM.

 

Beliau berkata, Badan Kehakiman diketuai oleh Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara, Badan Legislatif pula diketuai Tan Sri Azhar Azizan Harun yang merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, kedua-duanya produk fakulti tersebut.

 

"Malah, badan perundangan, Jabatan Peguam Negara diterajui Tan Sri Idrus Harun juga produk Fakulti Undang-Undang UM. Ini adalah satu pencapaian dan sejarah bagi Fakulti Undang-Undang UM dalam menyumbang kepada pembangunan negara. 

 

"Saya berharap kejayaan Fakulti Undang-Undang UM melahirkan ramai profesional yang hebat dan ternama tidak hanya ternoktah di sini, sebaliknya terus cemerlang untuk melakar sejarah dalam dan luar negara.

 

"Saya harap ini menjadi rangsangan kepada semua adik-adik pelajar Fakulti Undang-Undang UM yang hadir pada hari ini untuk meneruskan legasi Fakulti Undang-Undang," katanya.

 

Beliau berkata, sejak 50 tahun lalu, negara menyambut kelahiran sebuah institusi pendidikan tinggi yang penting dengan wujudnya Fakulti Undang-Undang di UM. 

 

"Pada awalnya, bidang pendidikan undang-undang sepenuhnya mengikut acuan Barat. Sistem pendidikan ini telah dijadikan milik kita setelah berjaya mengadaptasikannya. 

 

"Walaupun kita masih negara Common Law, namun prinsip-prinsip, doktrin, pemakaian dan pelaksanaan undang-undang telah dibuat berdasarkan semangat Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka," katanya.

 

Katanya, perkembangan itu merupakan sesuatu yang signifikan kerana jika dibandingkan dengan disiplin ilmu lain, ilmu undang-undang mempunyai ikatan yang sangat rapat dengan ‘fabrik sosial’.

 

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pelopor-pelopor pendidikan undang-undang di zaman penubuhan fakulti seperti Profesor Ungku Abdul Aziz, Datuk Rajasooria, Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim, Prof Tan Sri Visu Sinnudurai, Datuk Nik Abdul Rashid dan ramai lagi yang telah berusaha dan menyumbang kepada pendidikan undang-undang serta perkembangan perundangan negara.

 

"Hasil daripada wawasan dan kebijaksanaan mereka, penubuhan Fakulti Undang-Undang UM dilihat berjaya menjadi pemangkin kepada bidang guaman, badan kehakiman dan seterusnya pembangunan negara," katanya. - DagangNews.com