KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadiri sesi bersemuka dengan empat syarikat besar di Jepun bagi menarik minat melabur dan membesarkan perniagaan mereka di Malaysia.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata, pada pertemuan itu beliau berjumpa dengan wakil-wakil Mitsubishi Power, yang merupakan sebuah syarikat sebuah syarikat berpengalaman dalam industri penjanaan kuasa dan penyimpanan tenaga.
Beliau berkata, Mitsubishi Power diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hideshi Kawamoto dan Pengurus Pemasaran dan Jualan Antarabangsa, Nobuhiro Kawai.
"Selain menyampaikan ucaptama pada Persidangan Nikkei 2022, lawatan kerja rasmi saya di Tokyo, Jepun turut dipenuhi dengan jadual padat bertemu dengan syarikat-syarikat gergasi Jepun bagi menarik minat mereka menanam modal dan membesarkan perniagaan mereka di Malaysia.
"Syarikat ini mereka bentuk, dan membina sistem janakuasa di seluruh dunia. Mereka juga terlibat dengan industri gas asli, stim, aero-turbine, geothermal dan PV Solar. Mitsubishi mempunyai lebih 18,000 orang pekerja di seluruh dunia dan berpengkalan di Yokohama, Jepun," katanya.
Ismail Sabri berkata, Mitsubishi Power dan THB Power pada masa ini sedang bersama-sama membangunkan penyelesaian teknologi terkini bagi loji jana kuasa di Gurun, Kedah.
"Malaysia komited dan mengalu-alukan projek berkualiti tinggi dengan elemen kelestarian seiring dengan matlamat negara mengurangkan kesan gas rumah hijau," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, Dasar Pandang ke Timur yang dimulakan 40 tahun lalu menjadikan Malaysia antara destinasi pelaburan yang strategik bagi syarikat terutamanya dari negara matahari terbit, sekali gus menjadi penyumbang kemajuan pelbagai sektor negara.
Beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga Mac tahun 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun meningkat sebanyak 13.3% dengan RM41.75 bilion (AS$9.96 billion) berbanding RM36.86 (AS$9.07 bilion) dalam tempoh sama pada tahun 2021.
Katanya, pada tempoh berkenaan, jumlah eksport Malaysia ke Jepun juga meningkat sebanyak 19.6% iaitu RM22.68 bilion (AS$5.41 bilion) berbanding RM18.96 (AS$4.66 bilion) dalam tempoh sama pada 2021.
"Dalam pertemuan saya bersama Presiden Japan-Malaysia Economic Association (JAMECA), Tsuyoshi Nagano yang juga Pengerusi Tokyo Marine Holdings Inc dan Setiausaha Agung Persatuan Kazuto Sasaki pagi ini, mereka menyatakan hasrat untuk membantu menarik lebih ramai pelabur dari Jepun.
"Ini akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan kembali ekonomi negara," katanya.
Dalam pertemuan itu katanya, JAMECA turut menyatakan hasrat untuk mengadakan Seminar Dasar Pandang ke Timur pada 1 Ogos 2022. JAMECA ditubuhkan secara rasmi pada 1977 di Kuala Lumpur dengan tujuan untuk mempromosikan keharmonian hubungan ekonomi antara Malaysia dan Jepun.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri juga bertemu dan bertukar pandangan dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Prayut Chan-o-cha, yang juga salah seorang penyampai ucaptama di Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia di Tokyo.


"Hubungan antara Malaysia dan Thailand sangat akrab. Perdagangan sempadan kedua-dua negara menyumbang AS$10.5 bilion. Kita saling perlu memerlukan dan semoga lebih banyak peluang kerjasama dapat diterokai untuk manfaat kedua-dua negara," katanya. - DagangNews.com








