PM Anwar rasmi Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB mulai 7 hingga 9 November ini | DagangNews Skip to main content

PM Anwar rasmi Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB mulai 7 hingga 9 November ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2023), yang akan berlangsung di ibu negara dari 7 hingga 9 November 2023.

 

Dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), PIPOC 2023 akan menampilkan penceramah dan pakar terkemuka dunia yang akan memberikan pandangan berharga, berkongsi kepakaran mereka dan menyumbang kepada perbincangan dinamik mengenai trend, cabaran, peluang dan teknologi terkini dalam industri sawit pada masa ini.

 

PIPOC 2023, yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akan mengumpulkan lebih 100 penceramah terkenal dan 2,000 peserta dari seluruh dunia. 

 

Antara yang terkenal dalam senarai penceramah PIPOC adalah Tan Sri Datuk Dr. Yusof Basiron dari DIBIZ Global, Malaysia, yang akan menyampaikan pembentangan yang berkisar tentang teras tema PIPOC “Navigating Uncertainties, Building Resilience” semasa Kuliah Henri Fauconnier.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, PIPOC 2023 juga menampilkan Thomas Mielke dari Oil World, Jerman, yang akan berkongsi perspektifnya tentang Bekalan Minyak Sayuran Global, Permintaan dan Tinjauan Harga. 

 

Selain itu katanya, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha akan menyelami tema PIPOC, "Membina Ketahanan dalam Dunia VUCA".

 

"PIPOC 2023 adalah kongres yang menyedia maklumat, perkongsian idea dan perbincangan mendalam oleh penceramah mengenai isu semasa dan prospek industri sawit.

 

 

mpob
Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

 

 

"PIPOC, sekali lagi akan menjadi menjadi kongres minyak sawit yang bermaklumat, menggugah pemikiran dan memberi inspirasi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Tambah Ahmad Parveez, PIPOC 2023 akan memperkenalkan teknologi baharu dalam industri sawit. 

 

"Justeru, peserta akan mendapat peluang berharga untuk belajar, berkongsi pengetahuan mereka dan meneroka kemajuan terkini dalam industri sawit," katanya.

 

Dengan tema "Navigating Uncertainties, Building Resilience," PIPOC 2023 akan melibatkan empat persidangan serentak yang membincangkan topik penting seperti kemampanan, keselamatan makanan dan penambahan nilai, antara lain.

 

Sebagai kongres dan pameran sawit terbesar dunia, PIPOC menyediakan platform untuk interaksi, peluang rangkaian dan perbincangan mendalam mengenai pelbagai aspek industri sawit, daripada perkembangan dasar terkini kepada cabaran dan prospek industri itu.

 

Kongres itu juga turut menampilkan pameran perdagangan dengan lebih 400 reruai yang akan memaparkan kemajuan baharu industri, teknologi terkini, peralatan dan produk.

 

PIPOC 2023 juga akan merangkumi aktiviti menarik termasuk lawatan teknikal ke ladang sawit, kilang minyak sawit, kilang penapisan dan kemudahan penyelidikan dan pembangunan untuk para peserta. - DagangNews.com