PM Anwar pengerusikan mesyuarat JKK-PPA bincang kajian sistem saraan perkhidmatan awam pada 7 Ogos ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar pengerusikan mesyuarat JKK-PPA bincang kajian sistem saraan perkhidmatan awam pada 7 Ogos ini

Salah seorang penjawat awam tidak melepaskan peluang bergambar bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Perhimpunan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, baru-baru ini. - Gambar Twitter Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA 1 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) pada 7 Ogos ini bagi membincangkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

 

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesyuarat itu adalah susulan pengumuman perdana menteri baru-baru ini bagi mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam.

 

Kajian SSPA itu adalah sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia Madani.

 

"JPA komited menjaga kebajikan penjawat awam dengan menambah baik sistem saraan secara komprehensif bagi memastikan perkhidmatan awam berdaya tahan dalam mendepani cabaran di masa hadapan," katanya.

 

Menurut JPA, ia sedang memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh kementerian, jabatan dan agensi hasil usaha yang digerakkan sejak 26 Julai lepas melalui beberapa sesi libat urus bersama kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan yang merangkumi enam kluster iaitu keselamatan, kesihatan, pendidikan, sains dan teknologi, teknikal serta pengurusan.

 

Bagi memastikan cadangan penambahbaikan yang diterima bersifat terangkum, JPA telah membangunkan portal khusus bagi menerima input daripada seluruh penjawat awam, lapor Bernama.

 

Segala cadangan penambahbaikan serta pembaharuan boleh dikemukakan melalui portal kajian SSPA menerusi laman web https://semakansaraan.jpa.gov.my. - DagangNews.com