KUALA LUMPUR 4 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin tidak akan dilengahkan dan dibentangkan Mei ini.
Beliau berkata, pelaksanaan RUU itu tertangguh disebabkan mendapat banyak reaksi negatif daripada Ahli Parlimen.
"(Kerajaan) bukan menolak, pada prinsipnya kita akan terus membentangkan RUU ini tetapi tidak boleh dilakukan kerana pada peringkat awal kita setuju disekalikan RUU ini dengan cukai vape.
"Namun oleh kerana banyak bantahan, kita cadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) berunding semula dengan Ahli Parlimen secara teliti dan dengan semua badan kesihatan dengan maksud melaksanakan, bukan melengahkan. Pada tahun ini juga, insya-Allah," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai justifikasi daripada tindakan kerajaan menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952, lapor Berita Harian.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, adalah wajar untuk Ahli Parlimen diberikan ruang untuk melakukan perbincangan termasuk melalui Jawatankuasa Pilihan Khas membabitkan beberapa peruntukan yang dianggap terlalu keras.
"Bagaimanapun, di peringkat sekarang, Jabatan Kastam tetap akan mengawal pengedaran (produk merokok). RUU ini saya harap dapat dibentangkan dalam sesi yang akan datang pada Mei.

"Sementara itu, kempen advokasi kesedaran menolak vape dan rokok ini harus ditingkatkan," katanya. - DagangNews.com








