KUALA LUMPUR 23 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke Kemboja dan Thailand bermula hari ini hingga 26 Februari.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan tersebut adalah untuk memenuhi jemputan daripada Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha.
"Semasa lawatan rasmi ke Kemboja, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni, di samping pertemuan dengan Hun Sen bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala, kerjasama pasca pandemik COVID-19, kerjasama ASEAN serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Ismail Sabri juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja, seterusnya Perdana Menteri turut bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja," menurut kenyataan tersebut di sini.
Wisma Putra berkata, semasa lawatan rasmi ke Thailand, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Chan-o-cha bagi memberi peluang kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand.
"Bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pasca pandemik COVID-19, pembukaan sempadan antara kedua-dua negara dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.
"Program Perdana Menteri turut meliputi sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok," jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, lawatan Ismail Sabri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran dan rakan ASEAN tersebut.
"Ianya juga dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca-pandemik serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa," katanya.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Lawatan-lawatan ini akan berlangsung mengikut pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pencegahan COVID-19 yang berkuatkuasa di Malaysia, Kemboja dan Thailand. - DagangNews.com








