PETALING JAYA 29 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjalin kerjasama dengan Astro Radio, Celcom serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan penyebaran maklumat trafik terkini yang konsisten dapat disampaikan kepada 2 juta pengguna lebuh rayanya di antara 29 April hingga 9 Mei 2022 bersempena dengan perayaan Aidilfitri.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, peranan kerjasama itu penting kerana mesej PLUS disalurkan kepada orang ramai menerusi radio dan media sosial kerana pengguna lebuh raya memerlukan maklumat terkini yang dapat membantu mereka membuat keputusan dan merancang perjalanan.
“Keperluan untuk berkomunikasi secara berterusan dan meluas adalah penting bagi mempersiapkan orang ramai dari segi mental dan menjangkakan tempoh perjalanan yang lebih panjang pada musim perayaan ini.
"Oleh itu, dalam menguruskan lonjakan trafik musim perayaan ini, kami telah mengenal pasti 3 rakan strategik yang sepakat dan dapat bekerjasama dalam menghebahkan maklumat trafik terkini dan nasihat perjalanan kepada semua pelanggan lebuh raya PLUS melalui jangkauan luas setiap saluran komunikasi mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Azman berkata, Astro Radio adalah salah satu medium strategik kerana setiap kenderaan yang bergerak pada musim perayaan ini sudah pastinya akan mendengar stesen radio kegemaran mereka.
"Pemandu boleh mendapat laporan trafik terkini dari masa ke masa di udara melalui ERA, SINAR, ZAYAN, Hitz FM, Mix FM dan Lite FM atau melalui aplikasi SYOK, serta laporan media sosial daripada kesemua 11 stesen radio popular Astro Radio.
"Ia adalah medium yang ideal untuk mesej PLUS disampaikan kepada orang ramai. Malah, tips keselamatan dan peringatan tentang pemanduan selamat boleh terus disalurkan kepada pendengar radio,” katanya.
Beliau berkata, Celcom juga telah menyediakan stesen pemancar mudah alih di Plaza Tol Tapah dan Juru serta kawasan rehat yang terpilih untuk menyediakan liputan yang lebih luas dan stabil di lokasi-lokasi utama ini.
"Dengan lebih 2 juta pelanggan lebuhraya bergerak di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, kolaborasi yang tepat pada masanya dengan MOTAC yang berperanan dalam memastikan kelestarian ekosistem pelancongan domestik.
“PLUS mengucapkan terima kasih kepada Astro Radio, Celcom dan MOTAC kerana menyokong kami dalam usaha menjaga pelanggan lebuh raya dengan baik sepanjang musim perayaan ini, kami menghargai keikhlasan mereka dan membantu dalam semangat sebenar Kita Jaga Kita,” katanya.
Selain kerjasama ini, maklumat trafik terkini PLUS turut disalurkan melalui papan tanda elektronik di sepanjang lebuh raya, melalui PLUSTrafik di Twitter, dan Aplikasi PLUS yang membolehkan pelanggan melihat situasi trafik terkini di lebuh raya melalui paparan CCTV dalam aplikasi tersebut. - DagangNews.com








