PLUS FC juara Divisyen 1 Liga Premier Selangor | DagangNews Skip to main content

PLUS FC juara Divisyen 1 Liga Premier Selangor

Datuk Zakaria Ahmad Zabidi meraikan kejayaan bersama skuad PLUS FC yang menjuarai Liga Divisyen 1 Premier Selangor, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Sekalipun baru julung kali menyertai Divisyen 1 Liga Premier Selangor, skuad bola sepak PLUS FC mula mengukir nama apabila menjuarai liga tersebut setelah menjinakkan AS Gaison FC dengan jaringan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Radia Arena Bukit Jelutong, baru-baru ini.

 

PLUS Malaysia Bhd dalam kenyataan hari ini berkata, skuad kendalian bekas pemain KL PLUS, Mohd Faizal Ab Rahman tersebut memecah kebuntuan dengan jaringan pertama menerusi sepakan percuma Asnan Awal Hisyam pada minit ke-22 dan jaringan tersebut bertahan sehingga separuh masa pertama. 

 

Katanya, sejurus separuh masa kedua bersambung, AS Gaison berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-49 dan permainan mula dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan terus mengasak mencari gol kemenangan.

 

"Penantian gol kemenangan berakhir apabila pemain tengah PLUS FC, Nazrin Syamsul Bahri bijak menyempurnakan peluang pada minit-minit akhir perlawanan untuk memberikan kemenangan 2-1 kepada PLUS FC, sekali gus memberikan gelaran juara," katanya.

 

Pengurus PLUS FC, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, kejayaan ini adalah hasil kerja keras pasukan dan semua pemain selama 6 bulan. 

 

"Saya percaya PLUS FC layak dinobatkan sebagai juara atas usaha serta semangat juang yang tinggi semua pemain-pemain saya. Kami kini bersedia untuk bersaing di Liga Juara Selangor pada Julai akan datang," katanya.

 

Sebanyak 16 pasukan dari seluruh Selangor menyertai Liga Premier Divisyen 1 Selangor musim ini. 

 

 

plus

 

 

plus

 

 

Kejayaan PLUS FC menjuarai liga tersebut membolehkannya layak ke peringkat playoff Liga Juara Selangor yang bakal bermula pada Julai akan datang.

 

 

plus

 

 

plus

 

 

Tambah menarik, Nazrin Syamsul Bahri turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik manakala penjaga gol PLUS FC, Muhammad Aiman Zulkepli dinamakan sebagai Penjaga Gol Terbaik perlawanan akhir. 

 

Piala kejuaraan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi. - DagangNews.com