Plenitude lancar projek kediaman teres dua tingkat berharga RM453,600 di Ulu Tiram | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Plenitude lancar projek kediaman teres dua tingkat berharga RM453,600 di Ulu Tiram

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Plenitude Bhd melancarkan projek kediaman terbarunya, Magnolia yang terletak di perbandaran Impian Hills di Ulu Tiram, Johor. 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Wee Kee berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan rumah unit pameran tersebut yang merupakan rumah teres dua tingkat pegangan bebas baharu.

 

"Kami menjemput orang ramai untuk hadir dan mengalami sendiri kediaman di sini melalui rumah pameran kami, serta mengetahui lebih lanjut tentang visi kami untuk komuniti baru yang berkembang maju ini.

 

"Kami mengalu-alukan semua pemilik rumah baharu ke kawasan kejiranan dan menikmati pelbagai aktiviti yang telah disediakan bersama-sama sebagai sebuah komuniti," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Magnolia mempunyai keluasan berlainan binaan iaitu seluas 1,698 kaki persegi dan 2,216 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM453,600.

 

Ia dikelilingi persekitaran kehijauan yang subur dengan akses mudah ke pelbagai infrastruktur dan fasiliti. Pembangunan ini terletak hanya beberapa minit dari Taman Desa Tebrau, dan ia juga mudah diakses ke Lebuhraya Senai-Desaru, Pasir Gudang, dan Lebuhraya Tebrau.

 

Magnolia yang merupakan fasa pertama pembangunan di perbandaran baharu ini, merangkumi sejumlah 143 rumah teres dua tingkat. Pembeli rumah mempunyai pilihan untuk memilih antara susun atur Jenis A atau Jenis B. 

 

 

plenitude

 

 

Kedua-dua corak reka bentuk rumah menyediakan pelan terbuka yang mana gabungan ruang tamu, ruang makan dan dapur, beserta empat bilik tidur, boleh diubahsuai dengan pelbagai pilihan hiasan dalaman, termasuk susun atur bilik tidur utama mengikut cita rasa masing-masing.

 

Dalam pada itu, projek pembangunan ini mempunyai kadar pengambilan sebanyak 98% sejak dilancarkan. Ini adalah petunjuk jelas bahawa terdapat permintaan yang amat kukuh untuk rumah berkualiti di sini. 

 

 

plenitude

 

 

Ia juga petanda positif bagi pasaran hartanah di Johor, dimana ia dijangka akan meningkatkan permintaan di rantau ini. 

 

Selain itu, fasa-fasa akan datang, termasuk pembangunan komersial, kini berada dalam proses dengan 13% daripada kawasan pembangunan tersebut dikhaskan untuk taman terbuka, dusun, kemudahan awam dan infrastruktur.

 

 

plenitude

 

 

Selain Magnolia, Plenitude mengumumkan bahawa fasa dua pembangunan ini akan dilancarkan pada suku ketiga 2023 di dalam kawasan perbandaran yang sama, menawarkan pelbagai pilihan kepada pembeli rumah yang berminat. - DagangNews.com