Pickupp perluas operasi di seluruh Malaysia menjelang akhir 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pickupp perluas operasi di seluruh Malaysia menjelang akhir 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mei - Platform logistik pintar Asia, Pickupp membuka outlet ambilan dan serahan (PUDO) terbaharunya di Skudai, Johor Bahru, sekali gus memperluaskan lagi 'kehadiran' mereka di beberapa lagi bandar dan negeri di seluruh Malaysia menjelang hujung tahun ini. 

 

Dengan ruang yang luas untuk mengendalikan jumlah pesanan yang banyak, outlet terbaharu ini menawarkan rangkaian capaian akhir (last-mile) yang boleh dipercayai kepada para peniaga dan pelanggan di Johor Bahru. 

 

Outlet PUDO Pickupp di Johor Bahru akan memberi faedah kepada hampir setengah juta pelanggan dalam talian serta ribuan perniagaan di bandar tersebut, dengan fungsinya sebagai pusat serahan dan ambilan bungkusan yang memudahkan penghantaran untuk para peniaga di samping membolehkan para pembeli menikmati penjimatan daripada segi kos penghantaran. 

 

Dengan perkembangan landskap beli-belah dalam talian di negara ini, Malaysia telah dinamakan sebagai raja e-dagang rantau ini dengan lebih 22 juta rakyat Malaysia yang membeli-belah secara dalam talian. 

 

Oleh itu, Pickupp berhasrat untuk menyokong ekosistem tersebut dengan mengukuhkan lagi penyelesaian penghantaran capaian akhir (last-mile delivery). 

 

Pengurus Cawangan Pickupp Malaysia, Navin Kandapper berkata, pasaran e-dagang di Malaysia sedang bertumbuh dengan pesat dan industri logistik juga berkembang seiring dengan itu, bagi membantu dan menyokong anjakan digital. 

 

"Di pihak kami, Pickupp menyediakan rangkaian logistik sebagaiperkhidmatan yang memacu penghantaran capaian akhir dengan penggunaan teknologi yang dibina khas. 

 

"Kini, kami sedang merancang untuk menguatkan lagi impak kami dengan mengambil pendekatan yang telah terbukti berkesan dan mengembangkannya ke seluruh negara untuk memberi manfaat kepada lebih ramai peniaga dan pengguna di seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Navin, pihaknya telah memperhatikan peningkatan yang tinggi daripada segi permintaan pasaran sepanjang tempoh pandemik dan momentum itu masih berjalan disebabkan para pelanggan kini semakin selesa dengan pemesanan dan beli-belah secara dalam talian. 

 

"Bagi memenuhi permintaan ini, kami akan mengembangkan lagi operasi kami bagi menyediakan perkhidmatan untuk para peniaga dan pengguna di luar Lembah Klang,” katanya.

 

Berikutan kejayaannya menembusi pasaran Johor, Pickupp kini sudah dalam perancangan untuk mengembangkan pula operasinya bagi meliputi kesemua negeri di selatan serta kawasan tengah, dengan kemasukan ke Ipoh dan Melaka yang dirancang pada suku tahunan seterusnya.

 

Sejak kemasukannya ke pasaran Malaysia, Pickupp telah mencapai kadar pertumbuhan pengguna sebanyak 94%. Sehingga kini, Pickupp telah bekerjasama dengan lebih 23,000 peniaga di Malaysia, serta mempunyai lebih 26,000 ejen penghantaran di seluruh Malaysia. 

 

Untuk lebih maklumat mengenai Pickupp, sila layari https://my.pickupp.io/en/. - DagangNews.com