KUALA LUMPUR 14 Julai - Sim Leisure Group Ltd (SLG) telah membuat beberapa pelantikan eksekutif strategik kepada pengurusan kanan dan Lembaga Pengarahnya, termasuk pelantikan Phil Whittaker yang akan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bermula 1 Julai 2022.
Whittaker sebelum ini berkhidmat sebagai Penasihat Strategik dan Pengarah Komersial kumpulan, berpengalaman lebih 25 tahun dalam membangun, melancarkan, mengurus dan menstruktur semula jualan, pemasaran, komersial dan operasi untuk mencapai pertumbuhan pertubuhan pelancongan, riadah dan hiburan yang terkenal di Australia, Malaysia dan Singapura.
Beliau dipandang tinggi sebagai ahli strategi, perunding, fasilitator dan komunikator yang mahir, menjalin perkongsian yang bermanfaat dan saling memberi ganjaran sepanjang kerjayanya.
Whittaker berkata, beliau berbesar hati dengan pelantikan sebagai CEO kumpulan.
"Saya berasa rendah hati untuk menerajui jenama yang diiktiraf dan dihormati di peringkat global serta membina inovasi dan kejayaan yang telah dicapai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Sim Choo Kheng sebagai salah seorang usahawan dan pengendali terkemuka dalam industri.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas kepercayaan mereka kepada saya kerana saya terus memanfaatkan kemahiran dan pengalaman untuk menyokong serta membantu merealisasikan rancangan pengembangan berterusan Kumpulan Sim Leisure,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Sim akan mengambil peranan baharu sebagai Pengerusi Eksekutif, yang mana beliau akan menerajui inovasi produk baharu kumpulan.

Dengan pelantikan Whittaker, Sim juga akan menyelia hala tuju strategik kumpulan dan pengembangan jenama Sim Leisure, termasuk reka bentuk dan pembangunan projek baharu tempatan dan antarabangsa, sambil berhubung dengan pemegang kepentingan utama.
Sim berkata, pelantikan strategik ini boleh dianggap sebagai satu penting dalam misi untuk menjadi syarikat tema riadah utama di seluruh dunia.
“Sebagai sebahagian daripada rancangan bercita-cita tinggi kami untuk bergerak ke hadapan, saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan Phil sebagai CEO baharu SLG.
"Setelah bekerja rapat dengannya, saya tidak ragu-ragu bahawa kecekapan dan kehebatannya yang terbukti dalam perniagaan akan mampu menerajui kumpulan, sambil membawanya ke tahap baharu sejajar dengan pengembangan kami," katanya.
SLG juga telah membuat pelantikan baharu kepada Lembaga Pengarah kumpulan, Eric Sho yang berpengalaman luas di China merupakan seorang akauntan dan pengawal korporat mengikut profesionnya. - DagangNews.com








