Petunjuk keyakinan perniagaan Malaysia meningkat 3.6% pada suku pertama 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petunjuk keyakinan perniagaan Malaysia meningkat 3.6% pada suku pertama 2023 - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kalangan perniagaan Malaysia kekal optimistik mengenai keadaan perniagaan dalam suku pertama 2023 dengan petunjuk keyakinan meningkat kepada 3.6% daripada 3.2% dalam suku sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Dalam kenyataan Statistik Kecenderungan Perniagaan Bagi Suku Pertama 2023 hari ini, DOSM berkata, sektor yang ditinjau menunjukkan perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit dan industri kekal optimis mengenai keadaan perniagaan masing-masing di masa hadapan.

 

Bagaimanapun, peniaga sektor pembinaan kekal pesimistik dengan petunjuk keyakinan -18.5% pada suku pertama 2023 berbanding -29.2% pada suku keempat 2022.

 

Menurutnya, petunjuk keyakinan bagi sektor perkhidmatan adalah lebih baik kepada 11.4% pada suku pertama 2023 daripada 9.2% pada suku sebelumnya manakala sentimen bagi sektor perdagangan borong dan runcit juga terus positif pada suku pertama 2023 dengan 4% berbanding 1.9% pada suku sebelumnya.

 

Sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan pada suku pertama 2023 dengan petunjuk keyakinan dicatatkan 1.1% daripada 3.7 % dalam suku sebelumnya, lapor Bernama.

 

Memandang ke hadapan, DOSM berkata, persepsi perniagaan bagi separuh pertama 2023 adalah bertambah baik dengan imbangan bersih pada 12.1% berbanding 5.9% bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mac 2023. - DagangNews.com