Petros dilantik sebagai pengumpul gas Sarawak mulai 1 Februari 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petros dilantik sebagai pengumpul gas Sarawak mulai 1 Februari 2024

Datuk Seri Julaihi Narawi (tengah) menyerahkan dokumen pelantikan Petros sebagai pengumpul gas kepada Datuk Janin Girie (tiga dari kiri). [Foto FB UKAS]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUCHING 7 Feb - Kerajaan Sarawak melantik Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengumpul gas di bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), 2023 berkuat kuasa 1 Februari tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Datuk Janin Girie hadir untuk menerima pelantikan pengumpul gas daripada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi di pejabatnya di sini semalam.

 

Susulan pelantikan tersebut, Julaihi berkata Petros bertanggungjawab dalam perolehan gas asli dan pembangunan, operasi dan penyelenggaraan rangkaian serta sistem pengedaran gas untuk dibekalkan kepada industri dan pengguna lain di Sarawak.

 

Beliau menambah bahawa mandat yang diberikan itu juga adalah penting untuk memajukan objektif Sarawak yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

 

“Dengan mempertingkatkan penggunaan gas asli dan memastikan keselamatan bekalannya, Petros memainkan peranan penting dalam memudahkan penyertaan tempatan dan asing dalam sektor gas, sekali gus memupuk pembangunan ekonomi melalui aktiviti nilai tambah yang menjana peluang pekerjaan.

 

“Inisiatif ini selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, bertujuan untuk mencapai pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan dan meletakkan Sarawak sebagai wilayah maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” tambahnya.

 

Di bawah Ordinan Pengagihan Gas, semua pengeluar gas huluan, termasuk Petronas, diberi mandat untuk bekerjasama rapat dengan Petros bagi membolehkan Petros memenuhi peranannya sebagai pengumpul gas.

 

“Pematuhan dengan Ordinan itu mewajibkan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti berkaitan pengedaran gas perlu memperoleh lesen yang diperlukan, termasuk pengeluar gas,” katanya.  - DagangNews.com