Petronas tiada masalah bayar dividen RM50 bilion tahun ini, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas tiada masalah bayar dividen RM50 bilion tahun ini, kata penganalisis

Petronas mempunyai keupayaan untuk memenuhi bayaran dividen tersebut berdasarkan prestasi kewangannya yang mantap. - Gambar : Facebook Petronas
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Sept - Firma-firma penyelidikan mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) selepas Petronas merekodkan prestasi yang lebih kukuh pada separuh pertama 2022. 

 

Bagi tempoh itu, syarikat minyak negara itu merekodkan pendapatan sebanyak RM172.1 bilion, berbanding RM109.6 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, khususnya disebabkan oleh kesan harga yang lebih baik untuk produk utama selari dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

 

Malah, keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 146% kepada RM46.4 bilion, berbanding RM18.8 bilion sebelum ini seiring dengan pendapatan yang lebih tinggi berikutan trend peningkatan harga yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk dan cukai. 

 

Ini menyaksikan Petronas pada Selasa mengumumkan dividen tambahan sebanyak RM25 bilion, menjadikan angka keseluruhan pembayaran dividen kepada kerajaan berjumlah RM50 bilion tahun ini.

 

Penganalisis RHB Research, Sean Lim berkata, Petronas mempunyai keupayaan untuk memenuhi bayaran dividen tersebut berdasarkan prestasi kewangannya yang mantap tanpa menyebabkan kedudukan kunci kira-kiranya merosot dengan ketara. 

 

Katanya, pembayaran dividen itu merupakan kedua tertinggi akan diberikan kepada kerajaan selepas bayaran dividen khas sebanyak RM54 bilion pada 2019.

 

"Petronas telah membayar sebanyak RM9 bilion kepada kerajaan pada suku kedua menjadikan jumlah pada separuh pertama sebanyak RM12 bilion.

 

"Termasuk dividen, bayaran tunai, duti eksport dan Tabung Amanah Negara, menjadikan jumlah sumbangan kepada kerajaan berjumlah RM26 bilion pada separuh pertama tahun ini. 

 

"Namun, kedudukan tunai bersih terus mengukuh (meningkat 14% suku ke suku) kepada RM103 bilion, disokong oleh aliran tunai operasi yang lebih kukuh (meningkat 24% suku ke suku), justeru, Petronas memberi panduan untuk membayar dividen sebanyak RM50 bilion (daripada RM25 bilion sebelum ini)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Petronas untung RM46.4 bilion pada separuh pertama 2022, melonjak lebih 100%

 

 

Petronas

 

 

Dalam sidang akhbar itu juga, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menjelaskan, pembayaran tambahan juga bergantung kepada garis panduan obligasi yang dilaksanakan membabitkan peruntukan modal bagi memastikan perniagaan Petronas berjalan seperti biasa dan mengambil kira keperluan syarikat untuk terus berkembang.

 

Pengumuman dividen tambahan juga diumumkan selepas mengambil kira daya saing, aspek penampan serta keupayaan Petronas berdepan sebarang ketidaktentuan.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Steven Chan berkata, Petronas menggandakan komitmen dividennya bagi tahun ini kepada RM50 bilion selepas mempertimbangkan permintaan daripada kerajaan.

 

Beliau menyifatkan pengumuman itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Petronas dijangka merekodkan keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) tanpa sebarang kejatuhan harga minyak yang lebih besar pada separuh kedua. 

 

"Selain itu, kedudukan tunai semasanya juga kukuh berjumlah RM103 bilion, tertinggi sejak 2018.

 

"Oleh itu, kami tidak terlalu bimbang dengan perkara ini, kerana kami merasakan bahawa peningkatan komitmen dividen tidak seharusnya menghalang keupayaan perbelanjaan modal (capex) Petronas," katanya.

 

Malah, Chan juga percaya peruntukan capex akan meningkat dengan ketara pada separuh kedua ini bagi memenuhi panduan capex Petronas berjumlah RM60 bilion tahun ini.

 

Secara keseluruhan, RHB Research dan Kenanga Research masing-masing mengekalkan unjuran harga minyak mentah bagi 2022 pada AS$108 setong dan AS$100 setong. Bagi 2023 pula, ia diunjur berlegar pada AS$85 setong dan AS$110 setong. - DagangNews.com