KUALA LUMPUR 16 Feb - Petronas menegaskan tuntutan daripada waris Kesultanan Sulu terhadap entiti tersebut tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan undang-undangnya.
Petronas dalam kenyataan berkata, pihaknya juga mengesahkan perintah rampasan baharu terhadap kedua-dua anak syarikatnya di Luxembourg dan syarikat induk mereka.
Terdahulu, Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan baharu untuk dua aset Petronas minggu ini, dengan waris Kesultanan Sulu menguatkuasakan pampasan AS$15 bilion (RM66 bilion) yang mereka menangi terhadap Malaysia, menurut peguam waris dan dokumen mahkamah.
Menurut laporan Reuters hari ini, waris Kesultanan Sulu yang terakhir sedang berusaha untuk menguatkuasakan pampasan AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu, berikutan pertikaian lama dengan kerajaan Malaysia berhubung perjanjian tanah era penjajah.
Malaysia, yang tidak mengambil bahagian dalam timbang tara, menyifatkan proses itu tidak sah.
Ia memperoleh penangguhan pampasan itu di Perancis tetapi keputusan itu tetap boleh dikuat kuasakan di luar negara di bawah perjanjian timbang tara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Petronas berkata, ia akan menentang sebarang tuntutan yang dibuat ke atas asetnya dan Malaysia berikrar untuk menggunakan semua langkah undang-undang untuk menghalang asetnya, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, daripada dirampas di luar negara.
Aset Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus pertama kali dirampas pada Julai 2022, tetapi kerajaan Malaysia berkata pada bulan lalu bahawa perintah itu telah diketepikan oleh mahkamah daerah Luxembourg. - DagangNews.com








