KUALA LUMPUR 5 April - Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) memeterai Perjanjian ‘Farm Out’ (FOA) dengan SMJ Sdn Bhd (SMJSB), sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah untuk penjualan 50% kepentingan penyertaan PCSB dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) di Samarang.
Petronas dalam kenyataan hari ini berkata, perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Carigali, Hasliza Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr Dionysia Aloysius Kibat.
Katanya, urus niaga itu sedang menunggu kelulusan kawal selia dan pemenuhan syarat terdahulu.
"Bulan lepas, PCSB dan SMJSB memeterai Perjanjian Utama (HoA) untuk merekodkan dan mengesahkan penyertaan SMJSB dalam PSC Samarang, dan ia digantikan dengan pelaksanaan daripada FOA.
"FOA menandakan perkembangan penting kedua antara PCSB dan SMJSB berikutan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara Petronas dan Kerajaan Sabah pada 7 Disember 2021," katanya.
Menurut Petronas, di bawah FOA, PCSB akan terus menjadi pengendali PSC Samarang dengan SMJSB sebagai rakan bukan pengendali.
PSC Samarang, yang terletak kira-kira 50 kilometer di luar pesisir pantai Sabah kini mengeluarkan kira-kira 36,000 tong sehari bersamaan minyak sehari (boe/d) untuk kedua-dua minyak dan gas.
Gas dihantar kepada pelanggan di Kota Kinabalu dan Labuan.
Tambah kenyataan itu, kerjasama tersebut membuktikan komitmen berterusan Petronas untuk berkongsi aspirasi pertumbuhan mampan untuk industri minyak dan gas domestik.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam maklum balasnya, memuji komitmen semua pihak dalam mempercepatkan pemeteraian perjanjian berkenaan sejajar dengan kehendak kerajaan negeri.
"Kerajaan Sabah juga akan terus mendapatkan penyertaan dan perjanjian selanjutnya dalam industri minyak dan gas di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








