Petronas Gas bina stesen pemampat gas baharu bernilai RM650 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas Gas bina stesen pemampat gas baharu bernilai RM650 juta

Projek stesen pemampat gas di Jeram, Selangor disasarkan siap pada 2026, kata Petronas Gas dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini. /Gambar hiasan PGB
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Mac - Petronas Gas Berhad akan membina stesen pemampat gas di Jeram, Selangor yang bernilai RM650 juta.

 

Menurutnya, projek tersebut terdiri daripada dua unit pemampat gas yang bertujuan  menambah baik kapasiti Utiliti Gas Semenanjung (PGU) III di wilayah Utara. 

 

Projek ini disasarkan siap pada 2026, kata Petronas Gas dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

"Pembinaan pemampat baharu itu dijangka memenuhi peningkatan permintaan gas pada masa hadapan mulai 2026 dan seterusnya," katanya.

 

Lembaga Pengarah Petronas Gas telah memberi kelulusan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) untuk pembangunan stesen pemampat baharu itu hari ini.

 

Sementara itu, kata Petronas Gas, projek ini adalah sebahagian daripada pengembangan PGU III yang dikawal selia di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR). 

 

Ujarnya, IBR akan menentukan pemulihan kos Projek melalui Tarif Saluran Paip Penghantaran.

 

"Petronas Gas akan membiayai projek ini dengan dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar. 

 

"Perkadaran akhir sumber pembiayaan akan ditentukan kemudian selepas mengambil kira, antara lain, keperluan tunai dalaman, tahap penggearan, kos faedah dan keadaan pasaran," jelasnya.- DagangNews.com