Pestech International, HDF Energy bekerjasama hasilkan hidrogen hijau menerusi kilang hidro di Kemboja, Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pestech International, HDF Energy bekerjasama hasilkan hidrogen hijau menerusi kilang hidro di Kemboja, Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Pestech International Berhad memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Hydrogene De France SA (HDF Energy) bagi pengeluaran hidrogen hijau daripada kilang tenaga hidro di Kemboja dan Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Pestech akan memulakan komitmennya ke arah pembangunan mampan melalui penyertaannya dalam inisiatif hijau boleh diperbaharui.

 

"Hidrogen adalah antara pilihan utama untuk menyimpan tenaga boleh diperbaharui dalam penjanaan kuasa dan boleh menjadi bahan api alternatif atau pengangkutan mampan dengan menyediakan tenaga yang bersih, boleh dipercayai, selamat, mudah dengan kos yang berpatutan," katanya.

 

Memorandum itu akan mula berkuat kuasa serta merta dan akan kekal selama tiga tahun namun kedua-dua pihak memiliki persetujuan bersama secara bertulis sekiranya berhasrat untuk menyambung perjanjian itu selepas tamat.

 

Menerusi kerjasama itu, HDF Energy akan menerajui skop dan saiz pembangunan projek manakala Pestech akan memainkan peranan sebagai penghubung pasaran tempatan, dan penyelarasan, dalam sinergi itu.

 

"Pestech juga akan diberi hak untuk menolak kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tertakluk kepada terma dan syarat yang akan ditentukan dalam peringkat berikutnya menerusi projek demi projek.

 

"Hak itu bagaimanapu bergenatung kepada kriteria perbankan yang akan disahkan oleh pemberi pinjaman antarabangsa dan tempatan," katanya.

 

Perjanjian itu bagaimanapun tidak akan memberi kesan kepada pendapatan, hasil dan aset bersih sesaham untuk kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 tetapi akan menyumbang secara positif pada masa hadapan untuk kumpulan Pestech sekiranya kerjasama itu berjaya. - DagangNews.com