Pesara dakwa wang simpanan RM47,940 dalam akaun bank lesap | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pesara dakwa wang simpanan RM47,940 dalam akaun bank lesap

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Seorang pesara mendakwa wang simpanannya di sebuah bank tempatan kehilangan sebanyak RM47,940 sejak September lalu.

 

Kamaruddin Idris, 85, berkata kejadian disedari pagi tadi ketika dia berada di cawangan sebuah bank di Taman Tun Dr Ismail untuk menyemak baki akaun simpanan dan mendapati wangnya berkurangan.

 

Di dalam penyata tersebut menurutnya, didapati bermula dari 19 September lalu, sebanyak RM2,755 telah 'lesap' dan tidak pasti siapa individu yang mengambilnya.

 

"Saya bertanya kepada kakitangan bank berkenaan, namun dia juga tidak tahu kerana dalam penyata bank tiada butiran lanjut mengenai pengeluaran wang itu.

 

"Dari September hingga Disember, wang saya berkurang dan telah dikeluarkan secara tidak sah dengan anggaran sebanyak RM47,940," katanya.

 

Kamaruddin membuat aduan rasmi di Balai Polis Daerah Brickfields pada pukul 3 petang tadi.

 

Katanya, beliau meminta pihak bank tersebut untuk menyiasat dan menjalankan tindakan selanjutnya berhubung insiden tersebut.

 

Sementara itu, seorang pegawai bank yang menghubungi DagangNews menyatakan pihak bank telah mengambil maklum kes tersebut dan turut melakukan siasatan mengenainya.  - DagangNews.com