Perwakilan institusi pondok bertemu Muhyiddin, beri sokongan padu perjuangan PN | DagangNews Skip to main content

Perwakilan institusi pondok bertemu Muhyiddin, beri sokongan padu perjuangan PN

Pertemuan berlangsung di kediaman Pengerusi PN yang juga calon Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Muar, Johor pada 17 November 2022
Oleh LIZA ABDULLAH YUSUF

MUAR 18 Nov - Sekumpulan 15 perwakilan institusi pondok seluruh negara yang mewakili 313 sekolah memberi sokongan padu terhadap perjuangan Perikatan Nasional (PN) sebagai wadah membangunkan ummah.

 

Pertemuan berlangsung di kediaman Pengerusi PN yang juga calon Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, semalam.

 

Antara yang hadir Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia Baling Kedah, Ahmad Marzuki Mat Yusof; Pengarah Sekolah Islam Hatimurni, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali dan Pengerusi Persatuan Guru Agama Pondok Pantai Timur, Syed Suhaimi Syed Hassan.

 

Semua sekolah berkenaan mempunyai sebanyak 21,910 murid dengan setiap sekolah menempatkan 70 hingga 100 murid.

 

Muhyiddin berkata, pada pertemuan ringkas itu mereka berbincang hala tuju dan fungsi sekolah pondok dalam melahirkan lebih ramai ulama dan hafiz serta hafizah sebagai pelapis ilmuan generasi akan datang.

 

Turut dibincang, antaranya usaha memperkasa silibus pendidikan supaya setanding Sijil Tinggi Agama Malaysia. 

 

"Saya yakin usaha murni ini boleh dilaksana menerusi penyelarasan kurikulum yang diiktiraf badan akreditasi. Telah saya nyatakan bahawa dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15, PN juga memberikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz. 

 

 

pn

 

 

"Ini bagi memastikan persekitaran sekolah yang kondusif.  Bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah pondok atau tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Negeri,” katanya.

 

Menurut Muhyiddin, perwakilan turut menyuarakan kebimbangan mereka akan penularan pengaruh Islam liberal tidak berlandaskan fahaman ahli sunnah wal jamaah. 

 

 

pn

 

 

"Ini sangat bahaya perlu ditangani segera. Kesungguhan PN memperjuangkan Islam turut diiringi doa daripada anak tahfiz seluruh negara. 

 

"Doa itu dizahirkan pada program Munajat Pilihan Raya diadakan baru-baru ini sehingga menjelang tarikh pemilihan. Saya sangat menghargai doa semua pihak memohon supaya negara terselamat daripada bencana dan tidak dipimpin pihak yang tidak amanah, salah guna kuasa dan secara terang memusuhi Islam.

 

"Semoga ikhtiar kita dengan berdoa selepas berusaha ini diberkati Allah SWT. Berkat kesungguhan kita berjuang menegakkan kemungkaran ini dikabulkan dan dapat pentadbir negara dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab," katanya.

 

Sementara itu, Marzuki berkata, pihaknya menyokong perjuangan PN kerana berpegang teguh kepada syariat Islam aliran Ahlu Sunnah wal Jamaah terbukti berjaya menjaga keharmonian amalan beragama.

 

 

pn

 

 

Beliau berkata, PN juga memegang amanah utama menjaga kesejahteraan rakyat dan negara berasaskan dasar dan nilai Islam sebagai Agama Persekutuan.

 

“Kami menolak parti politik yang tidak menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan. Tidak menzahirkan kesetiaan kepada Kuasa dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu. 

 

“Tidak menghormati Hak-hak orang Melayu serta kepentingan sah anak-anak negeri Sabah dan Sarawak. Kami juga dengan tegas menolak parti yang tidak menghormati Kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

 

“Menolak calon-calon yang disabit jenayah rasuah, tidak berintegriti, mendokong fahaman Komunisme, Ekstrimisme, Liberalisme atau apa- apa aliran ideologi yang bercanggah dengan pegangan Agama (Ahlu Sunnah wal Jamaah), adat budaya, perlembagaan, peradaban Tanah Melayu demi kestabilan, kemakmuran dan keharmonian Negara,” katanya.

 

Menurutnya, pihaknya terus menyokong PN yang tidak menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan membentuk kerajaan atau menjadi gabungan kerajaan. - DagangNews.com