Pertumbuhan pembiayaan Islam dijangka terus atasi prestasi bank konvensional - Fitch Ratings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan pembiayaan Islam dijangka terus atasi prestasi bank konvensional - Fitch Ratings

KUALA LUMPUR 13 Feb - Pertumbuhan pembiayaan Islam di Malaysia berkemungkinan sederhana pada 2023, memandangkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi mengurangkan permintaan.

 

Bagaimanapun, Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan akan terus mengatasi prestasi bank konvensional, disebabkan persekitaran kawal selia negara yang menyokong dan ekosistem kewangan Islam, serta peralihan ke arah perkhidmatan patuh syariah.

 

Menurut agensi penarafan itu, pemulihan ekonomi yang kukuh mendorong pertumbuhan pembiayaan Islam ke paras tertinggi lima tahun sebanyak 13% pada 2022, didorong peningkatan berterusan dalam pinjaman modal kerja dan sektor isi rumah yang berdaya tahan.

 

Katanya, ia meningkatkan bahagian pembiayaan Islam kepada 41% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan pada akhir 2022, daripada kira-kira 38% pada akhir 2021, mengukuhkan lagi Malaysia sebagai pasaran perbankan Islam ketiga terbesar di dunia.

 

"Malaysia juga mempunyai pasaran sukuk yang mantap dan terkemuka dunia, dengan sukuk membentuk kira-kira 64% daripada terbitan tertunggak tempatan pada akhir November 2022," katanya dalam kenyataan bertarikh 9 Februari lalu.

 

Fitch Ratings berkata, persekitaran kadar yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang sederhana, berkemungkinan menjejaskan momentum dan menjejaskan kualiti pembiayaan bank Islam pada 2023.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan sebarang kemerosotan kualiti aset dapat diurus, memandangkan tahap peruntukan yang mencukupi dan ekonomi yang masih berkembang, dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang 3.5% pada tahun tersebut.

 

Agensi itu berkata, paras modal bank Islam kekal sihat, seperti yang ditunjukkan oleh sistem nisbah ekuiti biasa Tahap 1 sebanyak 14.2% pada akhir 2022.

 

"Keadaan pendanaan mungkin terus berkurangan tahun ini, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) meratakan pengetatan monetari dan pertumbuhan pembiayaan yang sederhana," katanya. - DagangNews.com