KUALA LUMPUR 12 April - AmInvest Research memulakan liputan terhadap Cape EMS Berhad dengan saranan ‘beli’ pada nilai saksama (FV) RM1.47 sesaham dengan jumlah potensi pulangan sebanyak 18%.
Dalam nota hari ini, firma penyelidikan tersebut berkata, melalui pelanggan utamanya, Cape EMS adalah proksi untuk mengikuti pelbagai trend pertumbuhan sekular, iaitu penggunaan 5G; evolusi ekosistem pembayaran digital; Internet of Things (IoT); dan peralihan trend kepada e-rokok berbanding alternatif konvensional.
“Pangkalan pelanggan syarikat yang pelbagai secara geografi dan permintaan pasaran akhir didorong oleh sektor ekonomi berbeza menunjukkan bahawa asas pendapatannya secara relatifnya lebih berdaya tahan terhadap kejutan ekonomi berbanding syarikat lain, yang kebanyakannya tertumpu pada produk elektronik pengguna,” tambahnya.
Menjangkaui kontrak perkhidmatan pembuatan sebagai punca pendapatan, kumpulan itu menawarkan perkhidmatan yang memberi nilai tambahan seperti tuangan cetakan aluminium, pembangunan produk baharu dan pemasaran bagi pihak pelanggan.
Ini meningkatkan pengekalan pelanggan selain membuka peluang kumpulan menaikkan jumlah yang dibelanjakan oleh pelanggan sedia ada secara tetap dalam produknya.
Selain itu, Cape EMS dikendalikan oleh kakitangan yang berkelayakan dengan pengalaman luas dalam peranan semasa mereka.
“Pertumbuhan pesat syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya disebabkan oleh hubungan mantap pasukan pengurusan dalam industri dan keupayaan pengetahuan teknikal yang diperoleh daripada pengalaman gabungan selama beberapa dekad,” tambahnya.
Firma itu mengunjurkan pendapatan tahun kewangan 2022 hingga 2025 (FY22-FY25) kumpulan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 37%.
Ini disokong oleh pertumbuhan hasil CAGR yang sihat sebanyak 26% dan meningkatkan aliran margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) daripada peningkatan beransur-ansur dalam keumpilan kendalian.
“Pertumbuhan pendapatan sihat dan organik akan disokong oleh trend sekular yang meningkatkan permintaan untuk produk pasaran akhir, terutamanya dalam segmen pengumpulan data komunikasi tanpa wayar, terminal sistem titik jualan (POS) dan utiliti pintar,” tambahnya.
Setakat pukul 10:31 pagi hari ini, saham Cape EMS tidak berganjak sebanyak RM1.26, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM1.17 bilion. -DagangNews.com








