Pertama Digital, CGS-CIMB tawar perkhidmatan pasaran kewangan digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertama Digital, CGS-CIMB tawar perkhidmatan pasaran kewangan digital

Ketua Runcit CGS-CIMB Securities, Louis The Chin Siang (dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB, Alan Inn Wei Loon; Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB, Ruzi Rani Ajith; Pengarah Eksekutif Pertama Digital Bhd., Sabri Rahman dan Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak yang diadakan hari ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 3 Dis - Pertama Digital Bhd. bekerjasama dengan CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. untuk membangunkan perkhidmatan pasaran kewangan digital bagi memperkasa pelabur dalam era pasca pandemik di Malaysia. 

 

Kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia. 

 

Pengarah Eksekutif Pertama Digital, Sabri Rahman berkata, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan permintaan bagi perkhidmatan kewangan digital termasuk pembrokeran saham digital. 

 

"Terdapat peluang untuk memberi semua orang akses kepada pasaran modal, tanpa mengira latar belakang mereka. 

 

"Oleh itu, melalui model yang saksama dijana oleh digital, kami berhasrat untuk membantu rakyat membina kekayaan mereka dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya hari ini.

 

Menerusi kerjasama itu, Pertama Digital dan CGS-CIMB akan menggabungkan kekuatan masing-masing untuk mencipta produk yang boleh dipercayai dengan fokus kepada keperluan pelanggan runcit.

 

Ini bagi menyokong Pelan Induk Pasaran Modal 3 yang dilancarkan Suruhanjaya Sekuriti pada 21 September lalu. 

 

Kepakaran Pertama Digital terletak pada keupayaannya untuk memacu pelaksanaan digital seperti yang ditunjukkan menerusi penyelesaian pembayaran jaminan digital, eJamin yang dipakai secara meluas.  

 

CGS-CIMB pula merupakan usaha sama antara CIMB Group Sdn. Bhd. dan China Galaxy International Financial Holdings Limited, anak syarikat milik penuh China Galaxy Securities Co. Ltd.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB, Ruzi Rani Ajith berkata, sebagai salah satu penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu terkemuka di Asia, syarikat komited untuk menggunakan kepakaran dan sumber ke arah peluang demi kepentingan negara.

 

"Sebagai contoh, kami bersedia meningkatkan akses kepada produk pasaran modal islamik menerusi saluran digital kepada khalayak yang lebih luas di peringkat domestik dan serantau," katanya. 

 

Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar pula menambah, penerokaan ke digital telah mewujudkan peluang besar untuk platform pelaburan antarabangsa memasuki di Malaysia. 

 

Katanya, ini termasuk Wahed Invest dari Amerika Syarikat, Stashaway dari Singapura dan Raiz dari Australia. 

 

"Kerjasama ini adalah peluang untuk berkhidmat kepada rakyat kita yang pelbagai melalui strategi hiperlokal, memberi peluang kepada kita yang ketinggalan," katanya. - DagangNews.com