KUALA LUMPUR 19 April - Walaupun media sosial membuka peluang pendakwah merungkai pemahaman mengenai agama Islam, maklumat salah boleh membawa kekeliruan sehingga boleh menyebabkan pergaduhan dalam talian.
Bagi merungkai fenomena ini dan mengenal pasti jalan penyelesaian bagi memperkukuh wacana Islam secara dalam talian, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dan stesen radio Astro, ZAYAN telah menganjurkan forum bertajuk ‘Let’s Talk Content – Isu-Isu Agama Viral: Menyangkal Yang Dangkal’.
Antara panel jemputan dan hos terdiri daripada pemain industri terkenal dan pendakwah iaitu penyanyi dan komposer Damian Mikhail; penyampai radio ZAYAN, Faizal Ismail; penceramah bebas, Ustazah Suriani Ismail; dan pengacara televisyen Amin Idris.
Ustazah Suriani berkata, mereka yang berdakwah secara dalam talian harus berpegang teguh kepada ilmu dan fakta sementara orang awam yang mungkin tidak tahu perkara benar atau salah, harus menyelidik terlebih dahulu latar belakang pendakwah tersebut, sama ada bertauliah atau tidak.
Damian yang bersetuju dengan kenyataan tersebut menambah tanggungjawab pencipta kandungan agar mempraktikkan kawalan kendiri dari berkongsi kandungan kontroversi demi klik dan viral, di samping kepentingan merujuk garis panduan kandungan bagi mengelak kecaman dan tindak balas orang awam.
“Ia berpunca daripada sikap merendah diri dan rasa tanggungjawab. Sebaik-baiknya kita keluar dari ‘mentaliti kelompok’ yang berlaku pada sesetengah orang awam serta berfikiran kritikal dan analitikal apabila berlaku sesuatu kejadian,” tambahnya.
Bagi memperhalusi perkara tersebut, Faizal menjelaskan bahawa beliau tidak akan mengulas topik yang bukan bidangnya.
“Apabila berhujah megenai hadis, ia bukan sekadar membaca kerana anda perlu mempunyai ilmu dalam bidang lain. Saya juga tidak akan menghuraikan ayat Al-Quran, kerana itu bukan kepakaran saya,” katanya.
Ustazah Suriani turut menekankan bahawa agamawan juga berbeza pendapat dalam sesuatu isu dan terpulang kepada individu untuk menentukan perspektif mana yang ingin dikuti namun perlu berdasarkan ilmu.
Dalam merungkai isu tular mengenai agama, ahli panel menggesa pengguna media sosial merenung sesuatu isu atau situasi sebelum terlibat dalam perbincangan digital yang hangat.
Mengambil contoh perdebatan baru-baru ini sama ada memuatnaik juadah berbuka puasa dalam talian sebagai ‘menunjuk-nunjuk’, Ustazah Suriani berkata berdasarkan hadis, perbuatan tersebut hendaklah dinilai dengan niatnya.
“Pengalaman berdepan para asnaf, apa yang dijual hari ini, belum tentu boleh pulang modal. Media sosial menjadi medan marketing. Berdasarkan hadis Nabi, “Sesungguhnya segala apa yang kita buat bergantung kepada niat”. Apabila kita mempunyai adab dan akhlak, kita akan menghormati perasaan orang lain,” katanya.
Pada masa yang sama, ahli panel turut memberi peringatan kepada mereka yang menggunakan agama sebagai alat, seperti pihak yang tidak bertanggungjawab dengan bertopengkan kebajikan dalam melakukan penipuan sepanjang Ramadan.
“Kita harus menuntaskan usaha wajar sebelum bersedekah. Contohnya, Ustazah Asma (Harun) membuat panggilan video untuk kesahihan sebelum memberi bantuan,” kata Faizal. -DagangNews.com








