Perolehan projek RM606.6 juta South Quay Square beri Sunway Construction keuntungan pada FY23-25, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perolehan projek RM606.6 juta South Quay Square beri Sunway Construction keuntungan pada FY23-25, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - Sunway Construction Group Berhad telah memperoleh kerja tambahan bernilai RM606.6 juta daripada projek South Quay Square.

 

Menurut MIDF Research, kerja-kerja tambahan ini mengambil masa 31 bulan dan dijangka siap menjelang 31 Oktober 2025, bermakna akan bermula serta-merta.

 

“Menganggarkan margin 6%, skop kerja tambahan dijangka memberikan keuntungan sebanyak RM36.4 juta untuk Sunway Construction, yang akan dibahagikan kepada RM10.6 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23) diikuti RM14.1 juta (FY24) dan RM11.7 juta (FY25),” katanya dalam nota hari ini.

 

Susulan anugerah kerja tambahan ini, kumpulan telah mencapai 63.5% atau RM1.27 bilion daripada sasaran penambahan buku pesanan setahun penuh sebanyak RM2 bilion apabila memasuki suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (2QFY23).

 

Firma penyelidikan itu berkata perjanjian tambahan kedua itu diperoleh melalui anak syarikat kumpulan, Sunway Construction Sdn Bhd, adalah kontrak yang terjamin secara dalaman dianugerahkan oleh Sunway South Quay Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung induk Sunway Construction iaitu Sunway Bhd.

 

Projek itu dianugerahkan kali pertama pada 18 Ogos 2020 untuk pembinaan pembangunan bercampur komersial dengan tempat letak kereta dan kemudahan di Sunway South Quay, Bandar Sunway, yang ketika itu berjumlah RM463.2 juta.

 

Perjanjian tambahan pertama telah ditandatangani pada 27 Disember 2021 apabila kontrak itu disemak naik sebanyak 63.2% kepada RM755.7 juta, manakala anugerah tambahan kedua baharu ini menjadikan jumlah kontrak bagi projek South Quay Square kepada RM1.36 bilion.

 

Di samping itu, firma itu tetap optimis Sunway Construction mampu mencapai sasaran penambahan buku pesanannya sebanyak RM2 bilion tahun ini dan mungkin melebihinya, disokong oleh aliran kerja dalaman daripada Sunway Group dan pelancaran pekerjaan infrastruktur akan berlaku seperti diumumkan dalam Bajet 2023 yang disemak semula.

 

Selain itu, kata firma tersebut, kumpulan tersebut juga sedang merundingkan projek loji kuasa AS$2.2 bilion di Vietnam yang akan dilaksanakan melalui perjanjian usaha sama.

 

Mengulas berkenaan anggaran pendapatan, firma itu tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan kerana kemenangan baharu ini adalah dalam jangkaan.

 

Firma itu turut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) pada RM2.00, berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY23 kumpulan sebanyak 11.4 sen kepada nisbah PE 17.5x, iaitu +1SD melebihi purata lima tahunnya.

 

“Sunway Construction kekal sebagai salah satu pilihan utama kami untuk sektor pembinaan, di samping nama yang lebih besar seperti Gamuda Berhad (beli, TP: RM5.04) dan IJM Corporation Berhad (beli, TP: RM1.90),” tambahnya. -DagangNews.com