KUALA LUMPUR 22 Feb - MIDF Research menyemak naik harga sasaran (TP) Sunway Construction Group Bhd. kepada RM2 daripada RM1.87 sesaham dengan mengekalkan saranan 'beli' terhadap penarafan sahamnya selepas kumpulan merekodkan prestasi kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 (FY22) melepasi jangkaan firma.
Sejajar dengan semakan TP itu, ia menaikkan unjuran pendapatan dan keuntungan teras FY23 sebanyak 2.5% masing-masing kepada RM2.36 bilion dan RM147.4 juta, berikutan prestasi FY22 dan unjuran margin yang lebih baik.
Menurutnya, Sunway Construction kekal menjadi salah satu pilihan utamanya dalam sektor pembinaan berdasarkan keupayaan kumpulan untuk mengendalikan margin dengan baik dan kunci kira-kira yang kukuh, dengan kedudukan tunai bersih berjumlah RM95.6 juta.
"Di samping sokongan padu dan aliran kerja daripada Sunway Group, kami optimis terhadap prospek Sunway Construction untuk mendapatkan kontrak bagi projek infrastruktur seperti MRT3.
"Kami masih melihat Sunway Construction sebagai calon paling layak untuk memperoleh kontrak MRT3, walaupun terdapat kemungkinan penganugerahan tender ini akan dilewatkan lagi daripada jangkaan sebelum ini, Disember 2022.
"Kelewatan ini disebabkan kerajaan menyemak semula kos pembinaan, pembinaan dan penjajaran projek ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022, keuntungan bersih Sunway Construction susut kepada RM45.65 juta daripada RM64.73 juta sebelumnya, dengan pendapatan juga menurun kepada RM503.43 juta daripada RM626.61 juta setahun sebelumnya, disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembinaan.
Untuk tahun kewangan penuh FY22, untung bersihnya meningkat kepada RM135.18 juta daripada RM112.59 juta bagi tempoh sama FY21, manakala pendapatan juga meningkat kepada RM2.16 bilion daripada RM1.73 bilion apabila hasil daripada segmen pembinaan dan pratuang meningkat.
Setakat Disember 2022, nilai kontrak tertangguh kumpulan berjumlah RM5.3 bilion manakala perolehan kontrak baharu brjumlah RM2.6 bilion.
Menurut MIDF Research, sebaik sahaja Sunway Construction memuktamadkan projek di Vietnam bernilai AS$2.2 bilion (RM9.75 bilion), ia akan meningkatkan nilai kontrak tertunggaknya ke paras tertinggi.
Pada Disember 2022, kumpulan memeterai perjanjian EPC sementara untuk loji janakuasa terma Song Hau 2 di Vietnam.
Projek itu akan dilaksanakan melalui usaha sama 60:40 dengan Power Engineering Consulting Joint Stock Company 2 dan perbincangan mengenai terma dan syarat masih berjalan.
Selain projek berkenaan, kumpulan itu kini mempunyai RM562 juta nilai kontrak tertunggak daripada projek lebuh rayanya di India dan RM481 juta projek pratuang di Singapura. - DagangNews.com








