Perolehan kontrak RM1.4 bilion perkukuh kedudukan MHB dalam segmen kejuruteraan berat - RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perolehan kontrak RM1.4 bilion perkukuh kedudukan MHB dalam segmen kejuruteraan berat - RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - RHB Investment Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) dengan harga sasaran (TP) pada 85 sen sesaham.

 

Kontrak yang diraih syarikat perkhidmatan minyak dan gas baru-baru ini mengukuhkan kedudukan syarikat di bawah kategori kejuruteraan berat, katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Melalui anak syarikatnya, MHB telah berjaya meraih kontrak daripada Carigali-PTTEPI Operating Company Sdn. Bhd. (CPOC) yang bernilai RM1.4 bilion.

 

Projek itu melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) lima platform kepala telaga, lima saluran paip dasar laut dan kerja-kerja pengikat hos di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

 

Menurut RHB Investment, kontrak yang diraih itu menunjukkan pemulihan industri minyak dan gas serta meningkatkan buku pesanan syarikat tersebut kepada RM7.7 bilion, satu rekod yang tinggi.

 

Pemulihan bahagian kejuruteraan berat serta perniagaan marin yang kukuh akan meningkatkan pertumbuhan pendapatan MHB.

 

“Kami percaya kedua-dua segmen kejuruteraan dan marin syarikat itu akan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun sebanyak 86.9% untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sehingga FY25,” katanya.

 

Projek-projek lain syarikat itu adalah Rosmari Marjoram (Sep 2022), Kasawari CCS (Nov 2022), and Jerun (April 2021). – DagangNews.com