Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Dis - Malacca Securities Sdn Bhd tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan Kelington Group Bhd (Kelington) biarpun syarikat itu merekodkan penambahan buku pesanan melebihi jangkaan.
Menurut firma penganalisis itu, ia kerana sumbangan daripada kontrak bernilai RM85 juta bagi menyediakan penyelesaian Ultra High Purity (UHP) untuk fabrikasi wafer semikonduktor di Singapura itu mungkin hanya berlaku pada tahun kewangan 2022 (FY22).
"Oleh itu, kami mengekalkan syor 'Beli' kami pada Kelington, dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.01 sesaham," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambahnya, risiko kepada pengesyoran dan harga sasaran yang dibuat termasuklah penambahan buku pesanan sasaran yang lebih lemah daripada jangkaan sebanyak RM450 juta untuk FY22.
"Sebarang pembalikan dalam jualan semikonduktor boleh menjejaskan penghantaran projek UHP berskala besar ke China dan Singapura, memandangkan segmen UHP memainkan peranan utama dalam jumlah sumbangan hasil dan pertumbuhan pendapatan," katanya.
Semalam Kelington memaklumkan pihaknya telah memenangi kontrak bernilai RM85 juta yang dianugerahkan oleh peneraju global dalam kejuruteraan dan pengurusan projek kemudahan teknologi tinggi yang telah dilantik sebagai kontraktor pelanggan akhir.
Pelanggan akhir ialah syarikat semikonduktor yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang mengeluarkan cip memori, komponen utama yang digunakan dalam teknologi peranti.
Di bawah kontrak itu, Kelington akan menjalankan kerja-kerja mereka bentuk, membekalkan, menghantar, memasang dan menjalankan ujian kerja-kerja pengedaran gas bagi fabrikasi wafer semikonduktor di Singapura.
Kerja-kerja tersebut akan bermula Disember 2021 dan dijangka selesai menjelang Ogos 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KelingTon, Ir Raymond Gan berkata, kontrak tersebut akan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam industri semikonduktor. -DagangNews.com








