Permohonan penyertaan program Felo Sarjana Tamu SC-OCIS dibuka | DagangNews Skip to main content

Permohonan penyertaan program Felo Sarjana Tamu SC-OCIS dibuka

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) United Kingdom (UK) mempelawa para sarjana untuk memohon penyertaan dalam program Felo Sarjana Tamu SC-OCIS ke-11 dalam bidang Kewangan Islam di OCIS UK bagi sesi akademik 2022/23.

 

SC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, program itu terbuka kepada ahli akademik atau pengamal yang berkebolehan dalam menjalankan penyelidikan gunaan secara bebas mengenai topik kontemporari yang berkait rapat dengan pasaran modal Islam.

 

Katanya, keutamaan diberi kepada Maqasid al Shariah, kewangan sosial Islam dan fintech, ekonomi halal, pelaburan berimpak serta topik berkaitan SRI.

 

"Pemohon perlu berkepakaran dalam kewangan Islam dan/atau disiplin yang berkait rapat dengan pengalaman praktikal yang luas dalam bidang berkaitan. 

 

"Tarikh tutup penyerahan permohonan adalah pada 10 Julai 2022. Pemohon yang berjaya dijangka akan memulakan program tamu selama satu tahun akademik di OCIS mulai Oktober 2022," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, di samping menjalankan penyelidikan, sarjana terpilih juga sesekali dikehendaki menyampaikan syarahan serta mengadakan seminar, terlibat dalam kajian kolaboratif dan menyumbangkan tenaga kepada institusi berkaitan.

 

"Program yang diperkenalkan pada tahun 2012 ini telah mendapat sambutan yang baik di seluruh dunia dengan pemohon yang terdiri daripada pelbagai bidang, mewakili kepelbagaian dan keterangkuman kewangan Islam. 

 

"Ia menarik minat para sarjana yang terdiri daripada ahli akademik dan pengamal industri dari Malaysia, Eropah, Timur Tengah dan benua Amerika.

 

"Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SC dalam mengekalkan dan mengglobalisasikan pembangunan pasaran modal Islam melalui perkongsian strategik dengan OCIS, dengan kepimpinan pemikiran bertindak sebagai tonggak utama," katanya.

 

Untuk butiran lanjut mengenai Program SIR, sila layari bahagian `Visiting Fellowship’ di laman web OCIS di www.oxcis.ac.uk. - DagangNews.com