KUALA LUMPUR 10 Jun - Perjalanan udara meneruskan aliran pemulihan yang kukuh pada April walaupun perang di Ukraine dan sekatan perjalanan di China, didorong terutamanya oleh permintaan antarabangsa.
Menurut Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Willie Walsh, permintaan untuk perjalanan udara pada April 2022, seperti yang diukur mengikut hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) meningkat 78.7% berbanding April 2021.
Katanya, jumlah itu mendahului peningkatan 76% tahun ke tahun yang direkodkan pada Mac 2022.
“Dengan pemansuhan banyak sekatan sempadan, kami melihat lonjakan tempahan yang telah lama dijangkakan apabila orang ramai cuba menebus kehilangan peluang melakukan perjalanan sejak 2 tahun lalu.
"Data April menunjukkan keyakinan dalam hampir semua pasaran, kecuali China, yang terus menyekat perjalanan dengan ketat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Data IATA menunjukkan RPK antarabangsa naik 331.9% berbanding April 2021, peningkatan lebih 289.9% kenaikan pada Mac 2022 berbanding tahun lalu.
Beberapa kawasan laluan berada melebihi paras sebelum pandemik, termasuk Eropah-Amerika Tengah, Timur Tengah-Amerika Utara dan Amerika Utara-Amerika Tengah.
Bagaimanapun, RPK antarabangsa April 2022 turun 43.4% berbanding bulan yang sama pada 2019.
Sementara itu, perjalanan udara domestik April turun 1% berbanding tempoh tahun lepas, pembalikan daripada kenaikan 10.6% permintaan pada Mac, didorong sepenuhnya oleh lanjutan sekatan perjalanan yang ketat di China, menyebabkan trafik domestik turun 80.8 peratus tahun ke tahun.
Secara keseluruhan, trafik domestik April susut 25.8% berbanding April 2019. - DagangNews.com








