Perkasakan penyediaan kemudahan untuk pelajar OKU di universiti demi pendidikan holistik | DagangNews Skip to main content

Perkasakan penyediaan kemudahan untuk pelajar OKU di universiti demi pendidikan holistik

Laluan untuk pelajar OKU ke perpustakaan UPM. - Gambar hiasan
oleh NORAZLINDA MOHAMMAD

MENGGAPAI tahap pendidikan yang sempurna merupakan satu daripada elemen terpenting di abad ke-21. 

 

Secara dasarnya, pendidikan memberikan pelbagai manfaat dalam kehidupan seseorang terutamanya dalam meningkatkan status kehidupan, kestabilan kewangan, dan pelbagai peluang lain.

 

Selain itu, individu yang berilmu juga berpeluang mencurahkan bakti kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu dan kepakaran terutamanya dalam memacu kemajuan ekonomi sesebuah negara.

 

Individu yang berilmu juga lazimnya disegani oleh ahli masyarakat, bukan sahaja kerana tahap keilmuannya, malahan kebolehan individu tersebut berkongsi segala kepakaran dan kemahiran yang dikuasai demi manfaat bersama.

 

Nelson Mandela pernah berkata: "Pendidikan adalah senjata paling berkuasa yang boleh anda gunakan untuk mengubah dunia”. Oleh yang demikian, hak pendidikan yang saksama untuk semua individu merupakan suatu keadilan yang tidak perlu dipertikaikan lagi.


 

parafrasa

 

 

Sebagai sebuah negara yang membangun, Malaysia berada di landasan tepat dalam memenuhi aspirasi masyarakat berpengetahuan tinggi, termasuk memberikan peluang yang sama rata kepada golongan kurang upaya untuk mendapatkan akses kepada pendidikan.

 

Ia diterjemahkan dengan kewujudan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2035 dan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 yang jelas memperlihatkan kesungguhan Malaysia dalam menyediakan sistem pendidikan yang inklusif dan holistik kepada semua individu, termasuklah golongan kurang upaya di peringkat pengajian tinggi.

 

Ia dapat dibuktikan dengan peningkatan bilangan kumpulan ini yang mendaftar di universiti awam saban tahun. Oleh yang demikian, golongan ini tidak sewajarnya disisih, malahan mereka perlu terus diraikan demi menyokong aspirasi mereka untuk sama-sama menempa kecemerlangan peribadi dan seterusnya turut menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Secara amnya, Malaysia menawarkan peluang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, jantina, bangsa, status, agama, normal atau kurang upaya. Oleh itu, golongan kurang upaya juga mempunyai hak dan peluang untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya di universiti.

 

Penyediaan kemudahan atau peralatan mesra untuk golongan istimewa ini merupakan antara elemen terpenting yang perlu ditekankan oleh setiap universiti yang menawarkan program pengajian kepada golongan kurang upaya di negara ini.

 

Langkah ini juga adalah penting bagi menyokong perkembangan dan persekitaran yang kondusif kepada kumpulan pelajar ini di universiti awam, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggariskan kesejahteraan dan kesihatan yang baik (SDG Ketiga), pendidikan berkualiti (SDG Keempat), dan pengurangan ketidakadilan dalam masyarakat (SDG Kesepuluh).

 

Oleh yang demikian, penyediaan kemudahan yang mesra untuk orang kurang upaya (OKU) di universiti awam atau swasta harus dititikberat kerana ia mencerminkan iltizam pihak kerajaan dalam menjamin hak dan kualiti saksama kepada golongan tersebut dalam mendapatkan pendidikan yang sewajarnya di Malaysia.

 

Selain itu, ia juga selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang memberikan tumpuan kepada empati, kedamaian, ketenangan, kelestarian, dan manfaat kepada seluruh anggota masyarakat, termasuklah OKU.

 

Ini juga secara tidak langsung dapat membantu memenuhi hak golongan OKU dalam mendapatkan pendidikan berkualiti di universiti.

 

Selain itu, kesejahteraan sosial mereka juga sewajarnya diuruskan dengan baik bagi menjamin kelancaran di sepanjang tempoh pengajian kumpulan ini di kampus-kampus universiti.


 

parafrasa

 


Natijahnya, ini sudah pastinya dapat mempertingkatkan tahap kesihatan mental, emosi, sosial, dan kegembiraan mereka di sepanjang tempoh pengajian dengan kewujudan akses yang mudah terhadap sistem sokongan berkualiti di kampus.

 

Kemudahan Berkualiti, Mencukupi untuk Pelajar Kurang Upaya

Kemudahan yang berkualiti dan mencukupi untuk pelajar kurang upaya merupakan sebuah elemen yang penting kerana ia bukan sahaja meningkatkan semangat, kepuasan diri, personaliti positif, dan ketekunan dalam meneruskan pengajian golongan istimewa ini di universiti, tetapi juga dapat memotivasikan mereka untuk menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang.

 

Sehubungan itu, pihak pengurusan tertinggi universiti sewajarnya memberi keutamaan yang teliti terhadap aspek ini dengan menyediakan kemudahan berkualiti dan lengkap untuk kesemua pemegang taruh, bukan sahaja untuk golongan normal tetapi juga untuk OKU. 

 

Selain daripada itu, peruntukan bajet yang disalurkan oleh kerajaan untuk membantu dan menyokong pelajar kurang upaya dalam memastikan hak dan keperluan mereka didengari perlulah diuruskan dengan sebaik mungkin.

 

Peruntukan tersebut sewajarnya dimanfaatkan untuk menyediakan teknologi atau peralatan bantuan seperti kerusi roda, skuter, alat bantu berjalan, dan tongkat bagi mengatasi kekurangan fizikal golongan istimewa ini  di institusi-institusi pengajian tinggi.

 

Salah satu daripada teknologi yang telah dibangunkan ialah alat bantu pembina draf iaitu sejenis alat bantu penulisan yang menggabungkan fungsi menulis nota, merangka dan menulis draf bagi  memudahkan proses penulisan.

 

Selain itu, menyediakan bilik kuliah atau dewan kuliah yang boleh diakses oleh pelajar yang berkerusi roda juga merupakan satu lagi elemen yang penting dalam menjamin kesejahteraan golongan kurang upaya di universiti.

 

Kemudahan dan peralatan ini berfungsi sebagai sistem sokongan dan membantu pelajar kurang upaya untuk terus aktif, bertenaga dan menikmati sesi pembelajaran mereka tanpa sebarang masalah.


 

parafrasa

 


Dengan adanya teknologi dan peralatan bantu ini, masalah ketidakhadiran, kesukaran, atau sebarang cabaran yang mempengaruhi pencapaian akademik dan kesejahteraan hidup kumpulan pelajar ini di kampus dapat dikurangkan.

 

Bahkan, inisiatif-inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat membantu mobiliti golongan istimewa ini dan memudahkan kehidupan mereka agar terus bermotivasi dalam meneruskan pengajian mereka.

 

Individu kurang upaya adalah sama seperti insan normal yang lain kerana mereka mempunyai perasaan dan impian dalam hidup.

 

Oleh itu, memiliki kemudahan berkualiti di kampus-kampus akan mewujudkan persekitaran yang indah dan kondusif bagi mereka untuk bergerak secara bebas dengan penuh keyakinan. Ini bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada kehidupan sosial dan emosi mereka, malahan ia dapat mempertingkatkan potensi mereka di samping cekal dan mensyukuri keadaan fizikal mereka.

 

Penyelesaian dalam Mempertingkatkan Kualiti Perkhidmatan Pendidikan

Mendengar isi hati akar umbi di peringkat bawahan merupakan suatu konsep yang wajar diterapkan. Pada masa yang sama, konsep ini memberi peluang kepada golongan kurang upaya dalam mengutarakan pandangan mereka agar ia dapat diselami oleh pihak pengurusan universiti dalam meningkatkan kesejahteraan pengajian mereka.

 

Selain itu, polisi dan dasar yang mengutamakan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti sewajarnya diterapkan untuk menyokong hak dan keperluan golongan istimewa ini pada setiap masa. Ini adalah  kerana golongan kurang upaya bukan sahaja merupakan generasi pemimpin pelapis negara yang berharga malah turut menjadi penyumbang kepada kemajuan politik, sosial dan ekonomi sesebuah negara.

 

Justeru, untuk mencapai matlamat tersebut, pelbagai mekanisme yang efektif termasuklah kajian dan maklum balas perlu dilaksanakan dengan lebih giat di kesemua institusi pengajian tinggi awam dan swasta demi mendapatkan maklumat  berkaitan kemudahan, peralatan, dan perkhidmatan yang terbaik selaras dengan keperluan pelajar kurang upaya.

 

Selain itu, penyediaan perkhidmatan jurulatih sukan yang berpengalaman khas untuk kumpulan pelajar ini juga harus dititikberatkan bagi menjamin kesihatan fizikal dan mental yang berterusan.

 

 

irsyad

 

 

Kemudahan sukan yang bersesuaian dan lengkap juga merupakan elemen yang penting bagi menjamin suasana dan pengalaman pengajian yang lebih baik, sama ada dalam bidang akademik mahupun dalam aktiviti kokurikulum.

 

Selain itu, dana kewangan yang disalurkan oleh kerajaan haruslah diuruskan dengan bijak bagi menyediakan ekosistem dan infrastruktur yang berkualiti kepada pelajar kurang upaya termasuklah akses khas dari segi pengangkutan, kemudahan tandas, sistem braille, laluan pejalan kaki, landasan jalan cerun, lif, dan tempat meletak kenderaan yang mencukupi.

 

Tambahan pula, kumpulan pelajar ini harus mempunyai akses yang mudah atau istimewa terutamanya dalam penyampaian maklumat serta peluang berkomunikasi dengan pensyarah dan sesama pelajar. Mereka juga tidak sewajarnya dihakimi sekiranya bersuara dalam memperjuangkan untuk hak mereka sebagai pelajar kerana mereka bukanlah meminta-minta untuk diberikan belas simpati.

 

Oleh yang demikian, warga kampus seharusnya bersikap sensitif, peka, saling membantu, dan mahir berbahasa isyarat merupakan satu nilai tambah yang dapat meningkatkan tahap kesejahteraan golongan istimewa ini di sepanjang pengajian mereka.

 

Selain itu, menaiktaraf prosedur operasi standard pembelajaran dan pengajaran, peningkatan bilangan pensyarah yang berkemahiran khas terutamanya dalam penguasaan bahasa isyarat serta rancangan pengajaran yang kreatif dan khas untuk pelajar kurang upaya adalah penting agar segala agenda membela nasib golongan istimewa ini di universiti-universiti dapat berjalan dengan lancar dan mencapai hasil yang telah direncanakan.

 

Pada masa yang sama, prosedur bersistematik bagi pelajar kurang upaya dalam menduduki peperiksaan, perkhidmatan kaunseling berkualiti, peluang biasiswa dan bantuan kewangan yang lain merupakan elemen tambahan yang perlu diberikan penekanan dalam menjamin kualiti dan keselesaan pengajian sepanjang hayat khas untuk golongan istimewa ini.

 

Tuntasnya, pelajar kurang upaya tidak sewajarnya disisih, diabai, atau diperlakukan sebagai warganegara kelas kedua dalam negara yang sedang membangun ini. Malahan, mereka harus terus dihormati dan dibantu oleh seluruh warga pendidikan agar mereka turut berpeluang mengecapi pengalaman indah dan dihargai di kampus, sebagaimana individu-individu normal yang lain.

 

Ia sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang menggariskan penghormatan, kepercayaan, dan kasih sayang sesama manusia.

 

 

parafrasa

 

 

Oleh yang demikian, pembudayaan sifat prihatin dalam kalangan warga kampus sewajarnya menjadi fokus di samping tahap kesedaran yang tinggi untuk membina landskap pendidikan yang lebih baik, inklusif dan selamat untuk semua individu, termasuklah OKU. 

 

Akhir kata, belajarlah untuk hidup sebagai warga Malaysia yang bijaksana, bersifat ihsan, beradab, penyayang, dan sentiasa merendah diri. - DagangNews.com

 

Norazlinda Hj Mohammad merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka