Perdana Menteri hadir Persidangan Kerajaan Dunia 2022 di Dubai | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri hadir Persidangan Kerajaan Dunia 2022 di Dubai

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) ketika menghadiri Persidangan Kerajaan Dunia (World Government Summit 2022) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sempena Ekspo 2020 Dubai.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Persidangan Kerajaan Dunia 2022 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bersempena Ekspo 2020 Dubai, petang semalam.

 

Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, persidangan yang mengangkat tema “Shaping Future Governments” atau Membentuk Kerajaan Masa Hadapan telah dihadiri Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga pemerintah Dubai.

 

Beliau berkata, persidangan terbesar itu menghimpunkan ketua-ketua negara, serta pakar-pakar pelbagai bidang dari seluruh dunia.

 

"Pada persidangan dua hari yang bermula pada 29 Mac, pelbagai isu telah diketengahkan termasuk isu-isu global, ekonomi dan pentadbiran menerusi lebih 100 sesi yang diadakan.

 

"Menerusi persidangan ini,  ketua-ketua dunia dapat membincangkan kerjasama masa hadapan bagi mendepani cabaran luar jangka seperti pandemik COVID-19," katanya.

 

 

pm

 

 

Perdana Menteri singgah di Dubai pada Selasa selepas lawatan rasmi tiga hari ke Qatar sejak Sabtu lalu. - DagangNews.com